UCL
Messi, Ronaldo 'tidak lagi memukau' seperti dulu, kata Hitzfeld
Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo "tidak begitu cemerlang" seperti yang pernah mereka lakukan, kata bekas pengurus Bayern Munich, Ottmar Hitzfeld.
Messi meledak 43 gol dalam semua pertandingan musim ini -- lebih banyak daripada pemain lain dalam kancah lima liga utama Eropah -- untuk menghidupkan peluang Barcelona memburu tiga gelaran.
Ronaldo pula menyumbat 24 gol dalam musim pertamanya bersama Juventus dan hatriknya ketika menentang Atletico Madrid memastikan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) sambil bintang sensasi dunia itu mengintai peluang untuk menjulang trofi Eropah buat kali keenam dalam kerjayanya.
Iklan
Bagaimanapun, nama kedua-dua pemain tersebut tercicir dalam perebutan Ballon d'Or 2018 yang mengangkat nama Luka Modric, sekali gus mengakhiri dominasi 10 tahun Messi-Ronaldo.
Justeru, Hitzfeld percaya kedua-dua pemain tersebut mula menunjukkan tanda-tanda penurunan prestasi, ini bermakna wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi pilihannya untuk bergelar juara Eropah musim ini.
"Saya percaya kelab Inggeris mempunyai peluang yang lebih baik tahun ini," ujar Hitzfeld, yang memenangi trofi itu sebagai pengurus Borussia Dortmund dan Bayern, kepada Omnisport.
"Kelab Inggeris mempunyai potensi besar. Mungkin juga disebabkan Messi tidak lagi begitu cemerlang seperti ketika di puncak prestasinya, sama juga dengan Cristiano Ronaldo.
"Dia masih mencetak gol tetapi Juventus akan berdepan kesulitan untuk lolos ke separuh akhir meskipun mereka sentiasa memberikan persembahan mantap.
"Saya lebih cenderung memilih pasukan Inggeris. Manchester City atau Liverpool, salah satu daripadanya pasti akan ke final."
Messi dan rakan-rakannya akan bertemu Manchester United dalam aksi suku akhir pertama di Old Trafford, awal pagi Khamis ini, sementara Juve akan berdepan Ajax di Amsterdam.
Liverpool pula akan menentang Porto manakala Tottenham berdepan Manchester City, awal pagi esok.
Ronaldo, yang kali terakhir turun mewakili Juve pada 12 Mac lalu, bergelut untuk mengatasi kecederaan otot yang dialaminya ketika mewakili Portugal, bulan lalu.
Must-Watch Video