Skip to main content

Bola Sepak

Messi, Munir penyelamat maruah Barcelona

messi.jpg
BARCELONA 1 ATHLETIC BILBAO 1

Lionel Messi bertindak sebagai perancang jaringan pemain gantian, Munir El-Haddadi, untuk menyelamatkan Barcelona daripada kekalahan ketika seri 1-1 dengan Athletic Bilbao di laman sendiri, awal pagi tadi.


Ernesto Valverde dilihat memberikan keutamaan untuk aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Tottenham selepas meletakkan Messi di bangku simpanan tetapi dia hadir untuk melakukan bantuan jaringan penyamaan Munir, sekali gus mengelak daripada kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan LaLiga.

Walaupun Barca menampilkan aksi berkualiti dalam separuh masa pertama, Athletic memberikan ancaman setiap kali menyerang dan mendahului permainan hasil jaringan Oscar De Marcos sebelum tamat separuh masa pertama.

Messi, yang hadir ke dalam perlawanan pada minit ke-55 menggantikan Arturo Vidal, berjaya melepaskan percubaan yang terkena palang sebelum menghasilkan lorongan buat Munir enam minit kemudian untuk berkongsi mata.

Athletic menampilkan serangan yang lebih berbahaya dalam babak pertama, dengan Inaki Williams menguji pertahanan Barcelona pada minit ke-12.

Williams sekali lagi menghadirkan masalah buat Barca tetapi gagal melakukan rembatan apabila tekanan Vidal menggagalkan usahanya.

Luis Suarez memaksa Unai Simon bekerja keras pada minit ke-37 dan Athletic berjaya mendahului permainan selepas De Marcos menampan masuk hantaran silang Markel Susaeta.

Keputusan Valverde memasukkan Messi mengubah corak permainan dan Barcelona berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung permainan.

Tumpuan Barcelona kini terarah kepada aksi berdepan Spurs dalam saingan UCL dengan kemenangan menjadi sasaran utama anak buah Valverde.

Advertisement

Must Watch Video