Skip to main content

Bola Sepak

Messi cipta rekod baru, Barca mula langkah kanan

lionel-messi-cropped_1q69okiiefszl1195dywaw9kjf.jpg
Lionel Messi menjaringkan  gol ke-6,000 Barcelona dalam saingan LaLiga ketika juara bertahan itu menang 3-0 ke atas Deportivo Alaves di Camp Nou, semalam.

Bintang Argentina itu menyempurnakan sepakan percuma di pertengahan babak kedua sebelum Philippe Coutinho menambah gol dan Messi melengkapkan kemenangan bergaya dengan tambah jaringan peribadi untuk memberikan tiga mata buat pasukan bimbingan Ernesto Valverde itu.

Alaves dilihat cuba untuk mempamerkan kebangkitan, namun persembahan mereka jauh berbeza berbanding tuan rumah yang jelas begitu kemas di setiap posisi, menyaksikan Valverde menurunkan Arthur dan Arturo Vidal buat kali pertama di pentas LaLiga dalam babak kedua.

Barca tampak bergelut untuk mencipta jaringan walaupun menguasai babak pertama ekoran ketiadaan Coutinho dalam kesebelasan utama, menyaksikan sepakan percuma Messi, yang bertindak selaku ketua pasukan, mengenai palang gol dan usaha satu lawan satu Ousmane Dembele sekadar singgah tepat ke dakapan Fernando Pachecho.

Coutinho dibawa masuk selepas rehat menggantikan Nelson Semedo tetapi mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-64 untuk menceriakan penyokong di laman sendiri apabila Messi menyempurnakan peluang sepakan percuma.

Bintang Argentina itu menyaksikan percubaannya sekali lagi menemui palang gol selepas itu sebelum Luis Suarez -- yang meraih penampilan ke-200 bersama kelab -- turut kecewa melihat usahanya dinafikan oleh Pacheco.

Barca melengkapkan hari pembukaan dengan kemenangan ke-10 berturut-turut ketika aksi berbaki lapan minit apabila Coutinho menyempurnakan peluang di dalam kotak penalti sebelum Messi menyambut hantaran Suarez dan mudah mengatasi Pacheco untuk mengesahkan kemenangan 3-0 Barca.

Advertisement

Must Watch Video