BOLA SEPAK
Messi: Bukan Copa America terbaik saya
Lionel Messi mengakui dia beraksi di bawah tahap terbaik dalam saingan Copa America 2019 tetapi menegaskan kemaraan Argentina ke separuh akhir adalah perkara paling penting.
Argentina mengesahkan pertemuan separuh akhir dengan tuan rumah, Brazil, selepas menewaskan Venezuela 2-0 di Maracana, awal pagi tadi.
Messi hanya menyumbat satu gol buat Argentina dalam empat perlawanan dan ia hadir menerusi sepakan penalti ketika saingan peringkat kumpulan berdepan Paraguay.
Iklan
Bintang Barcelona itu yang bakal berdepan Brazil, Selasa depan, menerima dia masih belum mencapai aksi terbaik dalam saingan kali ini.
"Realitinya, saya tidak beraksi di tahap terbaik dalam saingan Copa America kali ini dan ia bukan jangkaan saya," katanya.
"Masih ada perlawanan untuk dilalui. Anda tidak boleh bermain dengan banyak, ia merumitkan apabila perbezaan cuba dilakukan bagi mengelak seteru utama.
"Apa yang penting, kami menang dan kami meneruskan cabaran."
Messi memulakan perlawanan di belakang dua penyerang, Lautaro Martinez dan Sergio Aguero, ketika bertemu Venezuela dan penggempur Inter itu meletakkan nama dalam senarai penjaring buat kali kedua berturut-turut.
Selepas kemenangan itu, Messi gembira dengan gandingannya bersama dua penyerang itu tetapi turut mengkritik permukaan padang -- yang menjadi sasaran kritikan sepanjang saingan Copa America -- di Brazil.
"Kami tahu jika kami mahu beraksi dengan tiga pemain di depan, kami perlu berlari dan membantu benteng," tambahnya.
"Ia adalah aksi trofi, sesiapa pun boleh menang. Sukar untuk beraksi, padang sungguh teruk. Memalukan apabila semua padang sebegini dalam saingan Copa America."
Must-Watch Video



