Skip to main content

Bola Sepak

Messi boleh bersara selepas Piala Dunia, kata Zabaleta

messi-3.jpg
Lionel Messi perlu bersara daripada peringkat antarabangsa sekiranya Argentina terkandas dalam Piala Dunia Russia, kata bekas rakan sepasukannya, Pablo Zabaleta.

Messi gagal menyerlahkan permainan terbaiknya ketika Argentina tewas 0-3 kepada Croatia dalam pertembungan Kumpulan D awal pagi tadi untuk juara dua kali itu berdepan penyingkiran awal.

Zabaleta, yang merupakan sebahagian tonggak yang muncul finalis edisi 2014, percaya sudah tiba masanya bintang Barcelona berkenaan menamatkan kerjaya antarabangsanya sekiranya mereka gagal mencapai pusingan 16. 

"Saya berasa sangat kasihan dengan Lionel Messi," katanya kepada BBC.

"Ini adalah peluang terakhirnya untuk memenangi sesuatu bersama Argentina. Jadi, saya tidak akan terkejut sekiranya selepas ini dia bersara daripada bola sepak antarabangsa. 

"Dia pasti berasa sangat kecewa dan terpaksa menunggu empat tahun lagi di Qatar."

Argentina tumbang susulan kesilapan Willy Caballero yang memberi ruang kepada jaringan pembukaan Ante Rebic pada minit ke-53 manakala jaringan Luka Modric dan Ivan Rakitic pada penghujung permainan menambah duka Argentina.

Zabaleta sukar untuk menjelaskan prestasi skuad kebangsaannya selain memberi amaran kepada barisan pemain bahawa penyokong tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang pencapaian buruk. 

Tambahnya: "Penyokong-penyokong di Argentina pasti berasa sangat marah sekarang. Mereka menaruh harapan besar kepada barisan pemain ini.

"Mereka sangat dahagakan kejayaan Piala Dunia dan mereka pasti tidak akan menerima keputusan ini.

"Saya tidak pernah melihat persembahan seperti ini dipamerkan Argentina, tidak pernah. Kurangnya semangat dan ia sangat aneh untuk disaksikan," ujarnya.

Mario Kempes -- yang merupakan sebahagian daripada pemenang Piala Dunia Argentina 1978 -- turut senada dengan Zabaleta serta melabel pemain-pemain mempamerkan prestasi "memalukan".

"Ia persembahan yang memalukan dan penyingkiran semakin dekat dalam setiap perlawanan," katanya.

"Apabila kita menjangkakan kebangkitan dalam perlawanan kedua, adalah sangat mengejutkan kerana ia berlangsung lebih buruk daripada yang pertama."

Advertisement

Must Watch Video