Skip to main content

Bola Sepak

Melaka belum tampil aksi terbaik -- Zainal

zainal.jpg
"Bukan permainan sebenar anak buah saya", itu reaksi pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, yang menyifatkan mereka mempunyai prestasi lebih baik dalam aksi pramusim, biarpun menang ke atas UiTM 2-0.

Menurut Zainal, berdasarkan prestasi skuad Hang Tuah dalam aksi pramusim sebelum ini sepatutnya  mereka mampu menterjemahkan peluang yang diraih kepada lebih jaringan.

Tambahnya, Zainal sudah menjangkakan perlawanan pertama dalam kempen Liga Super musim 2020 menentang pendatang baharu, UiTM, bukan laluan mudah buat mereka. 

Ia susulan Melaka terpaksa menunggu saat akhir untuk menambah jaringan kedua selepas penyerang import, Sony Norde, menyumbang gol pertama pada minit ke-28.

"Ini bukanlah permainan terbaik Melaka. Perkara paling penting buat kami dalam aksi pertama adalah meraih tiga mata dan dapat melihat asakan yang ditampilkan UiTM dalam perlawanan ini," kata Zainal.

Sementara itu, bagi pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt terpaksa akur dengan ketumpulan penyudah pemain mudanya di bahagian serangan walaupun dihidangkan dengan peluang mencipta jaringan.

Bagaimanapun, Bernhardt memuji barisan pertahanannya yang cepat menafikan setiap asakan lawan biarpun bolos dua jaringan.

"Barisan pertahanan bukanlah masalah pasukan sebaliknya sentuhan penyudah masih lagi perlu dipertingkatkan," katanya.

Penjaga gol Melaka, Khairul Fahmi Che Mat, menjelaskan dia kini berada dalam kondisi terbaik dan bersedia membantu pasukannya memberi cabaran bagi musim ini.

Khairul sebelum ini terpaksa direhatkan selama dua bulan ekoran kecederaan di bahagian bahu dan tumit.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu mengakui perlu lebih berwaspada bagi mengelakkan kecederaan sama berulang kembali.

"Saya sangat bersyukur kerana dapat kembali beraksi dengan lebih baik dan berharap tidak mengalami kecederaan bagi musim ini. Tiga mata pertama ini dapat meningkatkan motivasi pasukan," kata Khairul.

Advertisement

Must Watch Video