Scott McTominay menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan ketika Manchester United menyempurnakan kebangkitan penuh menakjubkan untuk mengatasi Brentford 2-1 di Old Trafford, memastikan dua kemenangan dalam lima perlawanan di laman sendiri.

United mengharungi permulaan yang mengecewakan musim ini, tewas tiga kali daripada enam perlawanan di Old Trafford -- menyaksikan rekod 31 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri berakhir ketika tewas kepada Brighton. Brentford turut bergelut musim ini, dengan The Bees tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan liga.

Skuad bimbingan Thomas Frank berjaya memulakan perlawanan lebih cemerlang, mengawal permainan dan menghasilkan peluang, dengan percubaan terbaik hadir menerusi Aaron Hickey namun ia sekadar tersasar. Sementara pasukan tuan rumah pula terpaksa menghadirkan 10 pemain di atas padang dalam kawasan Brentford namun tetap bergelut menembusi benteng lawan.

Ketika United mula menghadirkan ancaman, mereka dibolosi menerusi kesilapan mereka sendiri,. Casemiro yang melepaskan bola, membenarkan The Bees melancarkan serangan sebelum Mathias Jensen melepaskan percubaan leret yang gagal ditampan keluar André Onana.

United kini ketinggalan pada separuh masa untuk kali keempat berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris, dengan Erik ten Hag cuba mengubah corak permainan pasukan dalam separuh masa kedua namun mereka tetap bergelut mencari peluang.

The Red Devils mula cuba menyelamatkan perlawanan ketika saingan berbaki 20 minit -- bermula dengan Bruno Fernandes yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti namun berjaya ditepis keluar Strakosha, kemudian Alejandro Garnacho turut berpeluang melakukan percubaan.

Anthony Martial memaksa jaringan United dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid dalam minit ke-90, namun situasi dramatik United baru sahaja bermula apabila McTominay mengambil peluang untuk menyamakan kedudukan.

Ia ternyata membuatkan Brentford tergamam seketika, dengan permainan berbaki empat minit, McTominay sekali lagi bertindak selaku penjaring, menanduk masuk hantaran Harry Maguire melepaskan Strakosha.

Kemenangan melegakan beberapa tekanan yang semakin meningkat ke atas Ten Hag dan meletakkan United di separuh teratas, manakala rentak tanpa kemenangan Brentford dilanjutkan kepada enam perlawanan.