Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe tidak perlu tinggalkan PSG untuk jadi pemain terbaik dunia -- Pele

mbappe_1.jpg
Kylian Mbappe tidak perlu meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia, kata Pele.

Mbappe, 20, menikmati satu lagi musim cemerlang dengan menjaringkan 31 gol daripada 35 penampilan dengan PSG musim ini, yang menarik kembali perhatian gergasi LaLiga, Real Madrid.

Pele, yang diiktiraf sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, berkata perpindahan tidak semestinya diperlukan Mbappe untuk menjadi pemain terbaik dunia.

"Tidak, dia tidak perlu meninggalkan PSG.

"Dia perlu meneruskan gaya permainan sama kerana dia akan menjadi yang terbaik di dunia. Itu yang penting.

"Jika anda membandingkan dia dengan Pele, Pele tidak pernah meninggalkan Santos untuk menjadi pemain terbaik dunia," katanya.

Mbappe membantu Perancis menjulang Piala Dunia tahun lalu ketika dia turut meraih kejuaraan Ligue 1 dan Coupe de France.

Kebolehan penyerang itu untuk mengubah permainan dalam perlawanan merupakan kekuatan utamanya berdasarkan apa yang dikatakan Pele.

"Kylian bijak, pantas dan sukar dijangka. 

"Kelebihan utamanya adalah dia sentiasa boleh berubah sepanjang perlawanan.

"Terdapat banyak pemain yang mempunyai kemahiran teknikal tinggi, namun mereka kekurangan kejutan yang mampu dilakukan dalam perlawanan.

"Itulah yang saya nampak dalam diri Kylian. Dia sukar dijangka," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video