Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe mula rawatan kecederaan paha

kylian-mbappe_1jut3ee13unb8105m06xfup7ym.jpg
Kylian Mbappe telah memulakan rawatan kecederaan paha yang menyaksikannya terpaksa diketepikan selama empat minggu.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengalami kecederaan tersebut ketika kemenangan 4-0 ke atas Toulouse dalam aksi Ligue 1, Ahad lalu, dan juara bertahan itu mengesahkan dia terpaksa disisihkan selama sebulan.

Sebelum itu, PSG telah pun kehilangan khidmat Edinson Cavani yang mengalami kecederaan sambil Abdou Diallo turut dikeluarkan dalam babak pertama akibat masalah di bahagian kepala.

Tatkala Neymar diketepikan daripada skuad susulan isu perpindahannya yang belum selesai, skuad bimbingan Thomas Tuchel itu kini terhad di bahagian serangan walaupun Eric Maxim Choupo-Moting menyumbat dua gol ketika berdepan Toulouse.

Pemenang Piala Dunia, Mbappe, menggunakan media sosial untuk memberitahu peminat bahawa dia kini berusaha untuk kembali beraksi secepat mungkin.

"Terima kasih atas semua mesej daripada anda," katanya.

"Hari ini, saya memulakan proses pemulihan untuk kembali membantu pasukan dan beraksi semula secepat mungkin."

Mbappe dan Cavani kini berkemungkinan terlepas aksi pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah yang dijadualkan melakukan sepak mula pada pertengahan bulan depan.

PSG akan menyambung aksi Ligue 1 menentang Metz, Jumaat ini tetapi selepas pertemuan dengan Toulouse, Tuchel tidak pasti sama ada akan menurunkan Neymar yang sebelum ini terlepas saingan Copa America akibat kecederaan buku lali.

Pengarah sukan kelab, Leonardo, mengesahkan bintang Brazil itu mahu meninggalkan ibu negara Perancis itu selepas dikaitkan dengan Barcelona dan Real Madrid.

PSG dan Barca dilaporkan telah mengadakan perbincangan mengenai perpindahan Neymar semalam.

Advertisement

Must Watch Video