Mauricio Pochettino memuji "nilai Chelsea" Conor Gallagher selepas pemain tengah itu sekali lagi mempamerkan persembahan cemerlang sebagai ketua pasukan dalam kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United awal pagi semalam

Pemain berusia 23 tahun itu tidak beraksi dalam satu daripada 17 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir dan menjadi kapten setelah ketiadaan Reece James dan Ben Chilwell.

Produk akademi kelab itu kerap dikaitkan dengan perpindahan dari Stamford Bridge sepanjang jendela perpindahan musim panas lalu, terutama sejak sebarang bayaran yang diterima untuk pemain itu akan dicatat sebagai keuntungan bersih ketika pemilik, Todd Boehly, cuba menjaga kelab dalam peraturan Pengurusan Kewangan Adil.

Konsortium Clearlake Capital milik Amerika telah menghabiskan lebih daripada £1 bilion (RM5.9b) untuk pemain sejak mendapatkan kelab itu pada Mei 2022, dengan beberapa ahli pasukan yang telah berpindah untuk mnemastikan kelab berkenaan kekal dalam kriteria kelestarian itu.

Namun, Pochettino, yang menyaksikan Chelsea menang dua perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri untuk kali pertama selepas lebih setahun pada Sabtu lalu, berkata nilai sebenar Gallagher buat kelab itu terletak pada apa yang dibawanya di dalam dan luar padang.

"Beliau penting kerana beliau mempunyai nilai Chelsea," katanya.

"Beliau datang dari akademi dan mempunyai identiti kelab. Tentu saja, beliau mencintai kelab dan sangat komited seperti yang anda boleh lihat di padang. Beliau berlari, bermain, berjuang. Beliau melakukan segala-galanya mencuba untuk menang.

"Beliau pemain yang sangat penting. Pemain seperti ini sentiasa ingin dimiliki jurulatih.

"Mungkin pada masa lalu (ada khabar angin tentang dia dijual). Itu adalah keputusan di antara kelab dan pemain tetapi bagi saya, saya tidak perlu bercakap terlalu banyak, kerana ia jelas dalam semua keputusan saya, beliau telah berada dalam barisan utama dalam hampir semua perlawanan, dan salah seorang kapten.

"Pemain seperti ini adalah pemain yang kelab perlu ada."

Pada Sabtu, Gallagher menggantikan posisi bersama Moises Caicedo di bahagian tengah dengan Enzo Fernandez diletakkan di bangku pemain simpanan, hampir tepat setahun selepas dia membantu kemenangan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Qatar menentang Perancis.

"Jika anda lihat beberapa perlawanan (terdahulu), beberapa pemain juga berada di bangku simpanan," kata Pochettino.

"Saya fikir apabila anda berada dalam tempoh yang sangat sibuk, pemain perlu memahami bahawa walaupun mereka boleh bermain, mungkin mereka perlu berehat.

"Kemudian kombinasi terbaik apabila mereka semua sihat, mungkin untuk permainan yang berbeza kami perlukan kombinasi yang berbeza. Mungkin kami perlu menunggu, kemudian menunjukkan bahawa mungkin saya membuat kesilapan."