Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Matuidi sangat gembira di Juventus, kini bincang kontrak baru

blaise-matuidi-cropped_izm8l6i4lxhg1hpmhey14owt6.jpg
Blaise Matuidi menegaskan dia sangat gembira di Juventus dan mengesahkan perbincangan mengenai kontrak baru bersama juara Itali itu sedang dijalankan.

Pemain Perancis itu beraksi sebanyak 42 kali dalam semua kejohanan buat Juve musim lalu tatkala dia kini memasuki tempoh 12 bulan terakhir dalam kontrak sedia ada.

Matuidi merupakan tonggak utama buat gergasi Turin itu sejak berhijrah daripada Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017 dan kini mereka mahu memberikannya perjanjian baru.

Ejennya, Mino Raiola, kini berbincang dengan Juventus walaupun sedang digantung oleh FIFA dan Matuidi berkata dia sedia untuk kekal.

"Saya sangat gembira di Juve. Tiada siapa tahu apa akan terjadi dalam bola sepak tetapi buat masa ini, saya dan keluarga gembira," katanya.

"Mengenai kontrak, saya menyerahkan kepada ejen untuk berbincang. Setakat ini, dia menjalankan tugas dengan baik. Saya tidak tahu ia perlu berubah secara tiba-tiba. Saya tidak risau.

"Saya bercakap dengan Raiola dan segalanya berjalan lancar. Selebihnya, dia akan bercakap apabila tiba masa. Hanya dia boleh bercakap mengenai penggantungannya. Ia tidak menyekat kami daripada berbincang. Kami akan mendapatkan penyelesaian terbaik."

Matuidi melalui musim penuh cabaran bersama Juventus tatkala mereka gagal memenangi Piala Itali dan Liga Juara-Juara Eropah walaupun menjulang trofi Serie A.

Namun, pemain berusia 32 tahun itu, yang beraksi empat kali buat Perancis sewaktu menjuarai Piala Dunia tahun lalu, mahu mengekalkan nilai positif daripada musim 2018-19.

"Ia adalah musim yang positif jika mahu melangkah jauh dalam Liga Juara-Juara," tambahnya.

"Ia lancar buat saya. Saya beraksi dalam hampir setiap perlawanan dan tidak dilanda kecederaan teruk, jadi saya gembira dengan musim lalu. Jelas sekali terdapat liku-liku yang dilalui tetapi secara keseluruhan, ia musim yang baik."

Advertisement

Must Watch Video