Skip to main content

Bola Sepak

Mata intai bonus berganda

juan-mata.jpg
Pemain tengah Manchester United, Juan Mata, teruja dengan prospek meraih "bonus berganda" ketika menentang Ajax Amsterdam di Stockholm, awal pagi esok -- untuk meraih gelaran utama dan kembali ke pentas glamor Liga Juara-Juara.

Kelab gergasi Belanda itu akan menjadi penghalang buat pasukan kendalian Jose Mourinho itu untuk kembali menempatkan diri dalam pertandingan elit dengan pemenang perlawanan akhir Liga Europa akan menjamin tempat ke kempen Liga Juara-Juara.

United yang gagal menyertai kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) -- kutipan 69 mata meninggalkan mereka di tangga keenam -- ini bermakna pertembungan Ajax membawa makna besar kepada Mata.

Dalam petikan yang dilaporkan oleh Telegraph, Mata berkata: "Liga Juara-Juara adalah saingan terbaik dan ia adalah salah satu kempen yang perlu disertai kelab ini pada setiap musim.

"Ketika ini, kami beraksi dalam Liga Europa dan jika kami menang, seperti yang saya lakukan beberapa tahun lalu (ketika Chelsea menewaskan Benfica pada 2013), ia adalah bonus berganda kerana ia adalah satu piala dan laluan ke Liga Juara-Juara, jadi ia sangat penting buat kami. "

Tempat United dalam saingan utama Eropah pada musim depan terjamin tanpa mengira keputusan di Sweden susulan mereka menamatkan saingan liga di tangga keenam, namun Mata tidak berada di bawah ilusi mengenai pertandingan yang perlu disertai kelab itu.

"Kami masih mahu bermain di pentas Eropah. Mudah-mudahan ia adalah Selasa dan Rabu (dalam Liga Juara-Juara), bukannya Khamis (dalam Liga Europa).

"Bagaimanapun jika Khamis sekalipun, ia tidak akan menjadi alasan untuk tidak cuba untuk memenangi kejuaraan.

"Jelas sekali, anda tidak mempunyai banyak masa untuk pemulihan yang diperlukan dan kami telah mengharunginya musim ini. Tetapi saya fikir kelab dan kewangan akan membantu kami cuba untuk membentuk sebuah skuad yang lebih besar dan bersedia menghadpai saingan yang berbeza."

Advertisement

Must Watch Video