Skip to main content

Bola Sepak

Masih ada setahun dalam kontrak -- Allegri beri bayangan kekal di Juventus

allegricropped_jw6c62mly6e01gkjqpvsr2hoy.jpg
Pengendali Juventus, Massimiliano Allegri, memberi bayangan akan kekal bersama kelab itu musim depan selepas menegaskan dia masih miliki baki setahun kontrak.

Masa depan Allegri menjadi persoalan sejak Juventus disingkirkan daripada suku akhir Liga Juara-Juara Eropah oleh Ajax.

Juventus muncul selaku pilihan dalam kejohanan selepas mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo awal musim lalu sambil ramai mendakwa bintang Portugal itu adalah jawapan kepada kekurangan Juve sebelum ini.

Wujud laporan mengatakan bahawa akan ada beberapa pemain yang meninggalkan pasukan jika Allegri kekal dan pengendali itu mendedahkan bahawa dia akan berbincang dengan presiden kelab, Andrea Agnelli, minggu depan.

Bagaimanapun, kenyataan terbarunya seolah-olah memberitahu dia akan kekal.

Selepas tewas 2-0 di tangan Roma awal pagi tadi, dia berkata: "Saya masih mempunyai baki kontrak setahun.

"Namun, penting untuk analisis musim ini dan musim depan. Kami harus memiliki idea segar. Timbalan pengerusi, Pavel Nedved, memberitahu bahawa 'hanya masa akan menentukan'. Dia sangat bagus.

"Normal apabila sesebuah pasukan mahu tampil lebih baik di musim seterusnya. Kelab ini juga meningkat dengan baik dalam setiap musim panas.

"Kadar kesilapan juga semakin berkurangan, kemenangan semakin sukar walaupun dalam liga. Saya mempunyai idea baru untuk pasukan.

"Setiap musim wujud desakan 'Allegri pergi' tetapi saya tenang kerana memiliki percaturan sejak November lalu.

"Kami harus bekerja dengan pemain yang ada, namun tetap berfikir mengenai masa depan kerana banyak perkara boleh berubah.

"Pertemuan dengan Agnelli akan diadakan selepas Selasa. Kami akan bertemu di pertengahan minggu.

"Saya berpuas hati dengan kelab yang membenarkan saya meraih banyak kepuasan. Namun, masih ada musim lain."

Advertisement

Must Watch Video