Skip to main content

Bola Sepak

Martabatkan reputasi pengadil tempatan -- Subkhiddin

subkhiddin.jpg
Selain masalah kewangan pasukan bertanding, mutu pengadilan merupakan antara aspek utama yang perlu diberi perhatian serius menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Peranan pengadil dalam kancah liga bola sepak dunia tidak boleh dinafikan dan umum mengetahui keputusan serta implikasi sesuatu perlawanan itu, bergantung kepada kualiti pengadilan sepanjang 90 minit permainan.

Di Malaysia, pengadil tempatan tidak terlepas dihujani kritikan pada saban musim malah kredibiliti mereka turut dipersoalkan dan kemuncaknya pengadil tempatan dinafikan peluang untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA di antara Perak dan Kedah musim lalu.

Bagi memartabatkan reputasi pengadil tempatan, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, berkata layanan serta pendekatan secara profesional terlebih dahulu perlu diterapkan kepada pengadil.

Subkhiddin yang kini merupakan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil FIFA berpendapat Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan FAM perlu menyamai kualiti pendekatan digunakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam memajukan mutu pengadilan.

“Satu penambahbaikan perlu dibuat… sediakan rakaman perlawanan untuk sesi taklimat di antara penilai pengadil dan pengadil selepas perlawanan agar kesalahan dan kelemahan pengadil dapat dilihat secara jelas, selain proses pembelajaran pengadil itu akan lebih berkesan.

“MFL atau FAM kena sediakan video perlawanan kepada penilai pengadil. Mereka ada kepakaran untuk menyunting rakaman perlawanan yang melibatkan insiden penting dalam perlawanan dan ia boleh diberikan kepada pengadil sebagai bahan ulang kaji dan rujukan,” katanya kepada Bernama.

Subkhiddin turut mencadangkan supaya seminar yang menghimpunkan barisan pengadil terbaik negara kerap diadakan bagi tujuan pembelajaran berterusan, secara tidak langsung dapat mengekalkan tahap kualiti pengadil sepanjang musim.

“Di peringkat tertinggi, dua minggu sekali seminar untuk pengadil profesional diadakan jadi apa salahnya kami gunakan pendekatan itu. Pengadil sentiasa perlu mengemas kini (pengetahuan) untuk kekal relevan ketika mengadili perlawanan. Kalau hujung tahun baru kumpulkan mereka, ia tidak berkesan.

“FAM badan yang bertanggungjawab ke atas pengadil, kalau pengadil lemah FAM kena rasa bersalah dan berusaha tingkatkan prestasi mereka dengan menambah baik program pemantapan pengadil sedia ada,” katanya. 

Bekas pengadil kebangsaan berusia 53 tahun itu berkata selain kebolehan memahami sifat pemain, seseorang pengadil itu juga perlu dilengkapi dengan pemahaman bola sepak dan peraturan permainan.

Beliau mengakui negara mempunyai beberapa pengadil tempatan berwibawa yang menyinar di pentas antarabangsa, namun kesal disebabkan kelemahan segelintir pengadil telah menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan barisan pengadil tempatan.

Lebih menyedihkan, Subkhiddin berkata sikap pemain dan pegawai pasukan turut memainkan peranan menyumbang, kepada persepsi negatif yang timbul terhadap pengadil.

"Pengadil Malaysia bukan tidak pandai. Mereka kerap tersilap atau gagal buat keputusan kerana tidak nampak jelas situasi yang berlaku. Itu masalahnya, pengadil Malaysia lemah daripada segi kedudukan. Pengadil kena sentiasa memahami permainan bola sepak, baru mereka boleh mengadili perlawanan.

"Pemain pula jangan fokus sangat kepada pengadil sebaliknya fokus terhadap kemampuan sendiri. Kalau anda bagus, baguslah permainan. Pengadil cuma bantu perlawanan berjalan lancar dan jaga keselamatan pemain untuk pastikan mereka dapat beraksi lebih lama,” katanya.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found