Skip to main content

Bola Sepak

Mari bermain untuk saya! Warnock tawar peluang kepada Ozil

ozil.jpg
Neil Warnock tidak menafikan Mesut Ozil akan kembali menemui sentuhan di Arsenal di bawah tunjuk ajar Unai Emery, namun akan mengalu-alukan perancang itu ke Cardiff City jika keadaan tidak berjalan lancar. 

Ozil sekadar menjadi pemerhati dalam kemenangan 3-1 The Gunners ke atas West Ham hujung minggu lalu akibat masalah kesihatan dengan pengurus, Emery, terpaksa menolak laporan mengenai pertelagahannya dengan bekas pemain Real Madrid berkenaan. 

Persaraan antarabangsa berikutan penyingkiran awal Jerman dalam Piala Dunia 2018 turut menyumbang kepada prestasi merudum Ozil tetapi Warnock tampil menyokongnya untuk mengubah keadaan ketika Cardiff bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Arsenal, esok. 

"Pemain bermain untuk pengurus tertentu dan atas sebab apa pun, dengan yang lain mereka tidak menjadi," katanya.

"Apabila anda merupakan pemain elit seperti Ozil -- melihat semuanya dan melakukan semuanya -- hanya masa akan menentukan dia akan kembali menyerlah."

Ditanya sama ada dia berasakan Ozil akan bermain di ibu kota Wales, Warnock secara berseloroh menjawab: "Dia boleh datang dan bermain untuk saya jika dia mahu."

Pengurus veteran Cardiff itu mengakui kekagumannya terhadap bekas pengurus Sevilla dan Paris Saint-Germain (PSG), Emery, di sebalik perbalahannya dengan Arsene Wenger.

"Pertelagahan saya dengan Wenger selama bertahun-tahun lamanya adalah tidak benar," kata Warnock.

"Ketika saya bersama Sheffield United untuk menghadapi mereka di Emirates -- perlawanan ke-1,000 -- kami menjadi perhatian utama dan saya menantikan Arsene dan berkata, 'Arsene, anda tidak akan mendengar suara saya pada hari ini. '

"Bunyinya dia seperti tidak senang mengenainya dan berkata: 'Neil, anda akan menemui jalan lain.'

"Saya mempunyai tempoh yang baik dengan Arsene dan saya sedih -- hari tidak selalunya cerah tetapi saya mahu buka bab baru.

"Saya menggemari Emery, saya fikir dia mempunyai visi yang hebat dan dia mempunyai beberapa pemain yang baik, bukan? 

"Saya iri hati dengan barisan pemain yang dimiliki enam kelab teratas tetapi sangat bagus untuk mendapatkan hasil daripada mereka."
 

Advertisement

Must Watch Video