Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Maradona sedia latih Argentina secara percuma

diegomaradona.jpg
Diego Maradona sedia kembali mengendalikan Argentina secara percuma selepas dikecewakan dengan penyingkiran pusingan 16, Piala Dunia.

Legenda berusia 57 tahun itu menyaksikan skuad kendalian Jorge Sampaoli itu tewas 4-3 kepada Perancis, Sabtu lalu, dan berkata sikap bertenaganya di stadium tidak mencerminkan perasaannya terhadap keputusan perlawanan.

Argentina mara ke suku akhir Piala Dunia pada 2010 dengan Maradona bertindak sebagai ketua jurulatih dan beliau sekali lagi meluahkan keinginannya untuk mengambil alih tugas itu.

"Ya dan saya akan melakukannya secara percuma, saya tidak akan meminta sebarang bayaran," katanya. 

Ketika ditanya mengenai perasaannya kepada media, beliau berkata, "Mereka mungkin berasakan saya gembira tetapi hati saya sedang kecewa.

"Saya berharap Tuhan memberikan kekuatan kepada saya untuk kembali beraksi. Kini berusia 57 tahun, saya sangat kecewa kerana melihat pasukan saya ditewaskan oleh pasukan yang bukan terbaik dalam Piala Dunia.

"Ia membuatkan saya sedih -- segala yang kami bina dengan banyak usaha dimusnahkan dengan mudah."

Melihat Brazil layak ke suku akhir menerusi kemenangan 2-0 ke atas Mexico semalam, Maradona menyokong jurulatih Selecao, Tite, akan membawa Brazil meraih kejayaan di Russia.

"Saya melihat pasukan yang kuat dari Brazil yang berjuang untuk merebut gelaran," kata pemenang Piala Dunia 1986 itu. "Saya menggemari Tite kerana beliau mampu menyingkirkan pasukan lawan.

"Mexico mahu bermain seperti mereka lakukan ketika berdepan Jerman (menang 1-0 dalam aksi Kumpulan F) dan mereka telah melakukan segala-galanya. Mereka tidak boleh dituntut melakukan lebih daripada itu."

Maradona turut mengulas mengenai gelagat Neymar, yang menjaringkan gol pertama Brazil tetapi bertindak secara keterlaluan selepas pemain Mexico memijak buku lalinya.

"Neymar hendaklah diberitahu: 'Sama ada anda membuat kami menangis atau membuat kami ketawa'," kata Maradona. "Apabila melihat pemain Mexico itu memijaknya, ia menimbulkan rasa kasihan tapi melihat dia berlari, ia adalah menggembirakan."


 

Advertisement

Must Watch Video