Skip to main content

Bola Sepak

Malaysia tewas tipis ujian Jordan

69357878_2353098911453526_4303964084254015488_o.jpg
MALAYSIA 0 JORDAN 1

Aksi bertenaga dalam separuh masa kedua tidak cukup untuk Harimau Malaya mengekang kemenangan 1-0  Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Aksi persahabatan itu merupakan perlawanan persiapan buat kedua-dua pasukan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 -- Malaysia bakal berdepan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sementara Jordan bertemu Taiwan, Khamis depan.

Sebagai rekod, Malaysia dan Jordan terikat tanpa jaringan ketika pertemuan terakhir dalam aksi persahabatan di Jordan pada 2009.

Permulaan goyah skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu digunakan sebaik mungkin oleh pelawat -- barisan penyerang Jordan berjaya mengatasi perangkap ofsaid sebelum kapten pasukan, Saeed Morjan, meledak gol selepas mengatasi penjaga gol, Farizal Marlias.

Kegagalan ketara jentera tengah yang gagal mengawal rentak permainan terus menghantui benteng pertahanan negara manakala dua lagi percubaan Jordan hampir menggandakan jaringan, namun Farizal menepis keluar percubaan tersebut.

Peluang terbaik Malaysia menyamakan kedudukan dalam separuh masa pertama hadir pada penghujung permainan apabila hantaran silang Brendan Gan gagal ditampan kemas Hadin Azman.

Harimau Malaya seperti dihembus nafas baru pada babak kedua dengan gerakan pantas, hantaran tepat serta tekanan yang diberikan ke atas pemain lawan untuk Malaysia melepaskan tiga percubaan menerusi Syafiq Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha dan Safawi Rasid yang hampir menembusi gawang lawan.

Pada minit ke-63, Safawi sekali lagi memiliki peluang mengikat kedudukan menerusi sepakan percuma, namun percubaannya sekadar melewati palang gol.

Percaturan Cheng Hoe memasukkan J. Partiban dan Ahmad Hazwan Bakri hampir membuahkan hasil buat skuad negara.

Gerakan pemain Perak itu menemui Ahmad Hazwan tetapi penjaga gol Jordan, Yazid Abu Layla, bijak menutup ruang. 

Walaupun gagal mencetak sebarang jaringan, semangat skuad negara memberikan tentangan kepada Jordan merupakan perkara positif yang bakal menjadi bekalan ketika berdepan Indonesia. 

Selepas tamat perlawanan, jurulatih Jordan, Vital Borkelmans, memberikan ulasan positif terhadap prestasi pasukannya sementara yakin mereka sudah bersedia berdepan Taiwan.

"Kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama. Jordan berpeluang meraih jaringan lebih daripada satu dan Malaysia bergelut melakukan percubaan.

"Dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sini turut menjadi kelebihan kepada pasukan untuk menghadapi Taiwan sementara skuad ini kehilangan beberapa pemain utama. Saya sangat berpuas hati," katanya. 

Cheng Hoe turut berkongsi mutu permainan skuad kendaliannya, dengan berkata, "Bermula perlahan tetapi Malaysia bangkit dalam separuh masa kedua.

"Perkara paling penting, kami mula mengenal pasti setiap perkara positif dan negatif dalam perlawanan ini.

"Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain yang mempamerkan kebangkitan dan beraksi di pentas ini. Mengekalkan rentak permainan sangat penting."

Advertisement

Must Watch Video