Skip to main content

Bola Sepak

Malaysia terikat seri di Likas

malaysia-wanita.jpg
Nepal berjaya mengikat Malaysia 1-1 dalam aksi persahabatan bola sepak wanita di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Malaysia lebih awal memiliki peluang baik menerusi Jaciah Jumilis pada minit ketujuh, namun, percubaannya dari dalam kotak penalti terus ke dakapan penjaga gol Nepal, Anjila Tumbapo Subba.
  
Pada minit ke-12, giliran pelawat pula mencemaskan pintu gol tuan rumah hasil percubaan ketua pasukan mereka, Sajana Rana, bagaimanapun penjaga gol Malaysia, Nurul Azurin Mazlan, bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Penyerang Nepal, Sabitra Bhandari kemudian memiliki dua peluang baik, masing-masing pada minit ke-30 dan 32, namun masih gagal menewaskan Nurul.

Pada minit ke-64, Dadree Rofinus akhirnya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama buat Malaysia hasil sepakan lambung dari dalam kotak penalti yang terus menewaskan penjaga gol lawan bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Bagaimanapun, Nepal pantas menyamakan kedudukan menerusi Sabitra yang memanfaatkan kesilapan mudah penjaga gol gantian, Asma Junaidi, pada minit ke-68.

Kedua-dua pasukan kemudian masing-masing cuba mencari gol kemenangan, namun gagal dan keputusan 1-1 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Perlawanan persahabatan kategori A di antara dua pasukan berkenaan sekali lagi bakal berlangsung di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Rabu ini.

Advertisement

Must Watch Video