Skip to main content

Bola Sepak

Malaysia mampu pamer persembahan lebih mantap -- Adam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

150717bawah22tahun.jpg
Pemain pertahanan B-22 negara, Adam Nor Azlin, percaya persefahaman yang baik berjaya dicipta rakan sepasukan ketika menewaskan skuad B-22 Myanmar, 2-0, tempohari, mampu dipertingkatkan menjelang aksi kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, minggu depan, dan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), bulan depan.

Skuad B-22 negara berdepan cabaran tersendiri menjelang aksi persahabatan itu yang menyaksikan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, hanya mempunyai tempoh 24 jam untuk mengumpul, sekaligus membuat percaturan pemain.

Namun, kesuntukan masa tidak menjadi batu penghalang skuad B-22 negara membenam Myanmar dan ia dilihat petanda positif menjelang aksi kelayakan Piala AFC B-23 dan juga Sukan SEA.

Adam menyatakan bahawa pasukan negara berjaya menghasilkan persefahaman yang baik dalam perlawanan tersebut.

"Kami berjaya bermain dengan baik, saya sangat berbangga dengan persembahan ketika berdepan Myanmar. 

"Kami berharap dapat mengekalkan momentum ini sehingga Sukan SEA nanti,” katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu menegaskan bahawa dia semakin selesa beraksi di bawah kendalian Kim Swee yang mengambil alih tugas Frank Bernhardt dengan menerapkan formasi 3-4-3.

"Saya sangat selesa dengan formasi permainan 3-4-3 yang diterapkan oleh Kim Swee. 

"Setiap pemain juga dapat bermain dan bergerak dengan baik sepanjang perlawanan.

Dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei bagi saingan peringkat kumpulan dalam Sukan SEA nanti, Adam menyifatkan lawan mereka dalam temasya dwi-tahunan itu mampu mencetuskan masalah kepada mereka sambil berharap dapat mempamerkan persembahan terbaik, sekaligus membawa Malaysia ke pentas penentuan merebut ibu segala pingat.

"Saya melihat saingan di peringkat kumpulan agak mencabar, mereka mampu mendatangkan masalah kepada pasukan negara dan kami harus berwaspada untuk mempamerkan aksi  terbaik untuk mara ke final."

Advertisement

Must Watch Video