Skip to main content

Bola Sepak

Malaysia benam Nepal 4-1

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

20170524_200457.jpg
Skuad bola sepak wanita negara membelasah Nepal 4-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, petang tadi.

Skuad kendalian Mohd Asyraaf Fong Abdullah itu tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh gol pertama apabila Shereilynn Elly Pius melakukan penyudah baik pada minit kedua.
  
Pada minit ke-43, Nur Athira Mamat menghasilkan gol kedua buat pasukan negara hasil percubaan dari dalam kotak penalti dan kedudukan 2-0 itu kemudian kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
  
Bermula babak kedua, Malaysia terus garang dan Shereilynn sekali lagi melakukan penyudah baik apabila meledak gol ketiga negara pada minit ke-47.
  
Walaupun ketinggalan tiga gol, skuad Nepal yang dibimbing Kumar Thapa tidak putus asa dan akhirnya pada minit ke-79, ketua pasukan mereka, Sajana Rana, berjaya memperoleh gol pertama hasil satu keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti Malaysia.
  
Bagaimanapun, pemain gantian, Puteri Noralisa Wilkilson melengkapkan kemenangan bergaya pasukan negara sdengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-84.
  
Kedudukan 4-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri, meniupkan wisel penamat.

Pasukan kebangsaan sebelum ini gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi persahabatan bertemu pasukan negara itu, iaitu tewas 0-1 dalam perlawanan di Nepal, Disember lalu, serta seri 1-1 dalam perlawanan di Stadium Likas, Isnin lalu.
  
Terdahulu, Asyraaf ketika ditemui, berkata beliau gembira dengan kemenangan itu kerana selama ini skuad bola sepak wanita negara jarang mencatat kemenangan.
  
"Kemenangan ini memberi motivasi kepada kita, khasnya pemain bola sepak wanita di negara ini, kerana kita mengalahkan pasukan Nepal yang muncul naib juara kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF), baru-baru ini.
  
"Walaupun kemenangan ini satu pencapaian baik, namun, masih banyak ruang yang perlu kita pertingkat dan perbaiki dalam menghadapi Sukan Sea di Kuala Lumpur pada Ogos," katanya.

Advertisement

Must Watch Video