Skip to main content

Bola Sepak

Mahfizul sambut baik keputusan FAM

pkns.jpg
"Ia situasi menang-menang", demikian ulasan pengurus PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, yang menyambut baik keputusan mesyuarat exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merujuk kepada kenaikan harga tiket 20 peratus kepada penyokong pasukan pelawat.

FAM bertegas dengan keputusan itu bagi mengelak kenaikan harga tanpa had bagi sesetengah pasukan tuan rumah, terutama apabila melibatkan pertemuan dengan pasukan yang memiliki jumlah penyokong yang besar.

Bagi menampung perbelanjaan untuk sesebuah perlawanan, Mahfizul menganggap keputusan itu memberi kelebihan melibatkan semua pihak, termasuk badan induk, FAM, sendiri.

Dengan menyelaraskan peratusan kenaikan harga tiket, ia lebih adil dan sistematik untuk digunakan.

"FAM cuba mendapatkan pendapatan menerusi cukai yang dikenakan kepada penyokong pasukan pelawat dan ini merupakan satu inisiatif yang baik," kata Mahfizul.

Pertambahan 20 peratus itu menambahkan lagi pendapatan pasukan kelab seperti PKNS.

"Kenaikan ini akan membantu perjalanan pasukan. Apabila kami berdepan pasukan yang memiliki penyokong yang ramai, pendapatan daripada jualan tiket akan meningkat untuk perlawanan tersebut."

Namun dalam masa sama, mereka kekal berhadapan dengan lautan penyokong yang ramai memenuhi stadium jika melibatkan pasukan pelawat yang memiliki jumlah penonton yang ramai.
 

Advertisement

Must Watch Video