Skip to main content

Bola Sepak

Maguire ikrar tampil aksi terbaik

harry-maguire.jpg
Harry Maguire berkata Manchester United merupakan kelab yang sentiasa dipandang tinggi dan berikrar untuk memberikan yang terbaik setiap kali turun beraksi.

Pertahanan tengah itu akhirnya menyempurnakan perpindahan daripada Leicester City semalam, menandatangani perjanjian selama enam tahun serta pilihan untuk melanjutkan kontraknya setahun lagi selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan yuran perpindahan GBP80 juta (RM406 juta).

Pemain kebangsaan England itu kini merupakan pertahanan termahal dunia selepas melepasi yuran perpindahan GBP75 juta (RM380 juta) yang dibayar Liverpool untuk menandantangani Virgil van Dijk daripada Southampton pada Januari 2018.

Walaupun mengakui harus memikul harapan dan jangkaan yang tinggi selaku pertahanan termahal dunia, Maguire terdesak untuk berkhidmat di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan merealisasikan impiannya untuk turun beraksi di Old Trafford selaku pemain The Red Devils.

"Ia merupakan saat yang membanggakan saya untuk menyertai kelab ini," katanya kepada MUTV.

"Anda sentiasa mengimpikan turun beraksi di Wembley dan Old Trafford -- dua stadium yang diimpikan oleh setiap pemain.

"Ia merupakan satu kelab yang menakjubkan, kelab yang saya sentiasa memandang tinggi dan kini saya sebahagian daripada mereka. Suasana dan stadium itu sangat unik dan istimewa.

"Pengalaman adalah sesuatu yang penting -- anda mengharungi perlawanan demi perlawanan dan banyak menimba pengalaman, seperti apa yang saya lakukan dalam saingan Liga Satu dan Kejuaraan. Saya berasakan ia telah banyak membantu saya.

"Kini saya beraksi dengan pasukan yang sentiasa berusaha mengelak daripada dibolosi.

"Saya seorang pemain yang mengutamakan pasukan. Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan melakukan segala-galanya untuk kelab ini."

Pengurus pasukan, Solskjaer, percaya dia telah mendapat salah seorang pemain terbaik dunia dalam posisinya dan menjelaskan kehadiran Maguire sangat penting kepada United musim ini.

"Maguire merupakan salah seorang pertahanan terbaik hari ini dan saya sangat gembira kerana mendapatkan khidmatnya," katanya.

"Dia bijak membaca permainan dan mempunyai kehadiran yang kuat di atas padang, dengan kebolehan untuk kekal tenang ketika diberi tekanan. Saya melihat dirinya sangat sesuai dengan pasukan ini.

"Saya ingin mengucapkan selamat datang ke Manchester United kepada Maguire dan kami tidak sabar untuk bekerjasama dengannya menjelang musim baru yang bakal bermula."

Advertisement

Must Watch Video