Luka kecederaan akibat kelecuran yang dialami bintang Selangor FC, Faisal Halim, belum pulih sepenuhnya selepas dibenarkan keluar daripada hospital pada 25 Mei lalu.

Perkembangan terbaru itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, yang mengesahkan luka Faisal masih basah selain kekuningan seperti bernanah.

Namun, dia berkata proses penyembuhan pemain sayap itu berjalan dengan baik dan memerlukan masa sebelum boleh kembali ke padang.

"Lukanya masih belum kering. Saya melawatnya minggu lepas masih ada luka basah.

"Macam ada kuning-kuning seperti bernanah tetapi masih jelas lukanya. Bila dah kering kulitnya akan jatuh tetapi ketika ini masih (luka) basah," katanya.

Johan turut memaklumkan Faisal perlu berulang alik ke hospital berselang empat hari untuk mencuci luka dan pemeriksaan kesihatan.

"Dalam dua tiga minggu ini, kami memang memberikan fokus kepada penyembuhan luka kerana selagi tak kering, selagi itu dia tidak boleh memulakan aktiviti lasak.

"Buat masa ini dia menjalani fisioterapi yang ringan dan tidak berpeluh, sekurangnya ototnya bergerak. Itu fokus dalam dua, tiga minggu ini," katanya.

Sebelum ini, Faisal mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.

Faisal, yang juga tonggak Harimau Malaya, terpaksa menjalani beberapa pembedahan untuk merawat lukanya.

--Sinar Harian