Skip to main content

Bola Sepak

Loftus-Cheek sabar tunggu peluang

ruben-loftus-cheek-cropped_1i90d09u8wzvp1rst5csvgvz08.jpg
Pemain Chelsea, Ruben Loftus-Cheek, tetap sabar menanti peluang untuknya beraksi bersama The Blues selepas mengesahkan tempat dalam skuad England.

Loftus-Cheek tampil tiga kali bersama England ketika saingan Piala Dunia, namun dia tampak bergelut untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Chelsea.

Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri, hanya memberikan peluang beraksi selama 33 minit buat pemain yang lahir daripada akademi pasukan itu pada musim ini selepas memilih untuk mengekalkannya di Stamford Bridge.

"Saya mahu melakukan lebih banyak penampilan sekarang tetapi pengembaraan saya baru bermula. Saya perlu bersabar," kata Loftus-Cheek.

"Saya melihatnya dari sudut positif. Saya beraksi buat England, bermain dengan baik apabila diberi peluang dan ia hadir tanpa banyak penampilan. Jadi, ia masih terbuka."

Walaupun meraih enam penampilan dalam saingan liga buat Chelsea ketika mula tampil buat Chelsea di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2015, dia menghargai peluang untuk berlatih bersama barisan pemain elit dalam pasukan bagi membantu perkembangannya.

Selepas dipinjamkan ke Crystal Palace pada musim lalu, pemain tengah itu melihat dirinya memiliki susuk tubuh yang diperlukan apabila beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris.

"Saya menikmati permainan dan latihan bersama Chelsea. Saya yakin diri menjadi semakin bagus setiap hari tetapi akan sampai satu tahap di mana ia tidak cukup dan anda memerlukan pengalaman dalam liga," tambahnya.

"Ia menjadi sebab untuk saya mendapatkan peluang ke Palace dan apabila ia berlaku, saya fikir saya dapat menyelesaikannya lebih awal.

"Saya mula menikmati bola sepak saya, beraksi dalam Liga Perdana Inggeris setiap minggu serta melihat kebaikannya."
 

Advertisement

Must Watch Video