Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool tidak boleh pengaruhi 'derby' Manchester, begitu juga United –- Klopp

klopp.jpg
Jurgen Klopp mengusik Manchester United dengan menyatakan Liverpool tidak mempunyai kaitan untuk mempengaruhi pertemuan 'derby' di antara United dengan Manchester City, awal pagi Khamis ini, begitu juga dengan United berdasarkan bukti kemenangan 4-0 Everton, malam tadi. 

Pengurus itu membawa Liverpool ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), dua mata di hadapan City yang mempunyai kelebihan perlawanan menjelang pertemuan 'derby' Manchester, pertengahan minggu ini.

Ramai yang menganggap kunjungan City ke Old Trafford merupakan halangan terakhir City dalam misi mempertahankan gelaran mereka selepas mengalahkan Tottenham 1-0 di tempat sendiri, kelmarin. 

United mempamerkan aksi buruk ketika menempa kekalahan memalukan kepada Everton yang juga merupakan kekalahan keenam The Red Devila itu dalam lapan perlawanan. 

Klopp ketika ditanya mengenai kepentingan 'derby Manchester' mengambil kesempatan itu untuk mengusik United.

"Aksi 'derby' bukanlah sesuatu yang boleh kami pengaruhi dan United kelihatan tidak bersedia," kata Klopp kepada Sky Sports selepas mengalahkan Cardiff City 2-0. 

"Apa keputusan membabitkan United dengan Everton? 3-0, 4-0?"

Pengurus berbangsa Jerman itu juga ingin menangani situasi pasukannya sambil mengingatkan kepada pemainnya bahawa mereka perlu terus menumpukan perhatian kepada satu perlawanan dalam satu masa dan kalau tidak, mereka akan bersikap sambil lewa. 

"Perlawanan 'derby' adalah aksi rutin, satu perlawanan yang memerlukan City beraksi," tambahnya.

"Kami juga mengharungi perlawanan itu dan ketika itu, Man United berada dalam prestasi yang lebih baik yang mendorong perlawanan berakhir dengan 0-0. Jadi, pada hari yang baik, pertemuan 'derby' mungkin boleh berakhir dengan seri.

"Kami akan melihat hasilnya kelak. Kami tidak mampu mempengaruhi keputusannya tetapi kami masih perlu mengharungi perlawanan lain.

"Oleh itu, jika United meraih satu atau apa sahaja mata dan kami menang (menentang) Huddersfield Town, kemudian kami masih perlu ke Newcastle United selepas bertemu Barcelona.

"Namun, dengan memikirkan perjuangan kami sudah separuh jalan atau apa sahaja, maka kami boleh terjejas. 

"Semuanya adalah situasi sukar, kami hanya perlu fokus tentang diri sendiri -- setakat ini pendekatan kami berjalan dengan lancar dan saya tidak melihat sebarang sebab mengapa kami perlu berubah."

Perkara tunggal yang menggugat The Reds di Cardiff adalah mengenai kecederaan kepala yang dialami Fabinho ketika perebutan di udara pada lewat permainan, namun Klopp tidak begitu bimbang tentang tonggak Brazil tersebut. 

"Malang sekali," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu. "Fabinho dalam keadaan baik tetapi kakinya agak terketar-ketar dan sudah tentu itu bukan satu petanda baik buat masa ini."

 

Advertisement

Must Watch Video