Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Liverpool tidak akan kehilangan khidmat Mane -- Murphy

mane.jpg
Bekas bintang The Reds, Danny Murphy, percaya Liverpool tidak dalam bahaya kehilangan khidmat penyerang, Sadio Mane, kepada Real Madrid di sebalik minat yang mula dipamerkan gergasi Sepanyol itu.

Pemain berusia 27 tahun itu mengharungi musim terbaiknya bersama Liverpool, menjaringkan 22 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris untuk menyertai Mohamed Salah dan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, selaku penjaring terbanyak musim ini.

Pemain kebangsaan Senegal itu terus mempamerkan aksi cemerlang sejak berhijrah daripada Southampton pada 2016, kekal dalam kesebelasan utama dan merupakan trio jentera serangan utama bersama Salah dan Roberto Firmino.

Mane turut meledak empat gol untuk membantu Liverpool melangkah ke final Liga Juara-Juara (UCL), di mana The Reds bakal bertemu Tottenham di Madrid, awal pagi esok.

Los Blancos dianggap sebagai destinasi seterusnya buat Mane musim depan jika minat kelab itu adalah benar, namun Murphy tidak berasakan penyokong Liverpool harus bimbang, terutama sekali jika mereka muncul juara Eropah buat kali keenam.

"Saya tidak berasakan mereka dalam bahaya kehilangan khidmat Mane dan sejujurnya, saya berasakan dia gembira bersama pasukan.

"Mane disayangi, menjaringkan gol dan bersaing merebut gelaran. Saya mengetahui Real berminat mendapatkan Mane tetapi saya tidak berasakan dia akan berhijrah ke Sepanyol.

"Pemain itu telah beraksi cemerlang musim ini. Dia sekali lagi meningkatkan tahap permainannya sejak musim lalu. Dia terus bersaing dengan Salah untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

"Idealnya, jika anda menang, ia adalah sesuatu yang mudah untuk menyimpan pemain-pemain apabila anda muncul juara UCL," tambahnya.

Spurs menolak setiap kemungkinan untuk melangkah ke final Liga Juara-Juara (UCL), terutama sekali selepas berdepan Manchester City dan Ajax –- jaringan minit akhir daripada Lucas Moura memastikan mereka bangkit mengejar tiga jaringan untuk ke final.

Son Heung-min, Lucas dan pemain yang kembali cergas, Harry Kane, telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, namun Murphy yakin Liverpool tidak perlu terlalu bimbang dengan kebolehan Spurs.

"Saya berasakan jika Liverpool mengekalkan corak yang dipamerkan sepanjang musim ini, Spurs yang harus bimbang dengan pasukan kendalian Klopp itu.

"Liverpool telah banyak menewaskan Tottenham sejak beberapa tahun yang lalu. Mereka hanya tewas sekali dalam enam atau tujuh tahun lalu. Rekod yang kurang baik buat Spurs."
 

Advertisement

Must Watch Video