Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool tandatangani Adrian secara percuma

adrian.jpg
Liverpool mengesahkan telah menandatangani bekas penjaga gol West Ham, Adrian, secara percuma.

Pemain berusia 32 tahun itu menyertai juara Eropah tersebut sebagai pengganti Simon Mignolet, yang meninggalkan Anfield untuk menyertai Club Brugge.

"Saya berasa sangat gembira, berada di sini dan berkhidmat untuk salah satu kelab terbaik dunia dan saya tidak sabar untuk mempamerkan kebolehan dalam sesi latihan," kata Adrian, yang meluangkan enam musim bersama West Ham sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah.

"Saya hadir di sini untuk memenangi setiap kejuaraan. Saya akan cuba memberikan saingan kepada Alisson dari minit pertama untuk menjadikan kami lebih baik.

"Sejujurnya, saya mahu menjulang gelaran. Saya datang ke sini untuk berjuang dalam semua kejohanan.

"Saya tidak sabar untuk beraksi bersama skuad utama dan memenangi sebanyak perlawanan yang mungkin."

Penghijrahan Mignolet telah disahkan oleh The Reds semalam selepas Club Brugge mengumumkan ketibaannya Ahad lalu.

Menerusi laman Twitter, Mignolet berkata, "Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana mewakili salah satu kelab terbesar dunia dan meraih kejayaan bersama barisan pemain yang berkualiti.

"Saya mahu menggunakan peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap penyokong yang sentiasa bersama pasukan ketika jatuh dan bangun. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pengurus sepanjang bersama kelab. Ilmu serta kepakaran mereka adalah sesuatu yang tidak ternilai.

"Saya telah berkongsi padang dengan beberapa pemain berkualiti tetapi skuad semasa ini merupakan antara yang terbaik. Saya tidak akan melupakan kejayaan kami merangkul Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid.

"Ia merupakan satu perjalanan yang menarik. Banyak perkara yang berlaku sepanjang bersama pasukan dan saya tidak menyesal menyertai pasukan ini. Saya telah memberikan yang terbaik dan sentiasa berbangga kerana menyarung jersi Liverpool."

Advertisement

Must Watch Video