Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Liverpool inspirasi Spurs untuk bangkit -- Rose

mauriciopochettino.jpg
Danny Rose berkata Mauricio Pochettino mengambil inspirasi daripada Liverpool untuk bangkit mengatasi Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi, sekali gus melangkah ke final.

Tottenham mara ke final berdepan Liverpool selepas Lucas Moura meledak hatrik dalam babak kedua di Arena Johan Cruijff, dengan Ajax mendahului 3-0 secara agregat sebelum Spurs meraih kemenangan menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pertahanan kiri, Rose, berkata pemain-pemain Spurs menyaksikan kemenangan 4-0 Liverpool ke atas Barcelona sebelum perlawanan dan Pochettino mahukan mereka mengambil inspirasi daripada perlawanan tersebut.

"Kami menyaksikan Liverpool semalam," kata Rose. "Ia menunjukkan perlawanan belum berakhir sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

"Terdapat beberapa kata-kata ketika rehat separuh masa dan kami mengubah cara kami bermain. Ia membuktikan kami boleh menewaskan sesiapa saja dengan cara kami bermain.

"Pochettino bercakap mengenai kemenangan Liverpool sebelum kami menghadapi perlawanan ini.

"Dia tidak kisah jika kami tewas tetapi mahu Spurs berjuang dengan cara yang betul. Cara kami memulakan perlawanan berdepan Ajax dalam aksi pertama bukanlah apa yang diinginkan.

"Jika kami tidak melangkah ke final sekalipun, Pochettino tetap berbangga dengan kami," katanya lagi.

Rakan sepasukan, Toby Alderweireld, yang memulakan karier di Ajax, berkata skuad bimbingan Pochettino itu memiliki keinginan yang lebih tinggi untuk menang.

Pemain kebangsaan Belgium itu meninggalkan Ajax untuk menyertai Atletico Madrid pada 2013 sebelum tiba ke Tottenham, dan dia memberikan pujian di atas persembahan yang dipamerkan kelab Belanda itu.

"Sukar untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol, anda perlu meledak tiga gol. Saya berasakan pasukan ini mempamerkan mentaliti sebenar kami," kata Alderweireld.

"Kami mengharungi musim yang sukar dan kami telah mempamerkan persembahan dalam separuh masa kedua berdepan Ajax, sesuatu yang sukar untuk dipercayai.

"Kami berusaha sehabis mungkin dan berasakan ramai yang memilih Ajax ke final tetapi Spurs telah membuktikan kami mahu lebih daripada mereka. Saya sangat berbangga dengan pasukan ini.

"Kami perlu menghormati Ajax. Mereka memiliki falsafah terbaik dan berbangga kerana memiliki sejarah dengan kelab itu."

Advertisement

Must Watch Video