Skip to main content

Bola Sepak

Lima individu dihukum gaduh gempar aksi di Teluk Intan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

teluk-intan-gaduh-gempar.jpg

Empat lelaki dikenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan dengan jaminan RM500 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan, semalam, atas kesalahan melakukan gaduh gempar ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, minggu lalu.


Rakaman perselisihan kejadian di antara pukul 5.15 hingga 6 petang, 7 Ogos lalu itu tular dan tujuh lelaki kemudian ditahan berhubung kejadian panas tersebut yang berpunca daripada terjahan keras dalam perlawanan, ia kemudian menjadi pergaduhan membabitkan kedua-dua pasukan termasuk penyokong, malah pengadil turut diserang. 

Harith Nazreen Shah Abd. Ghani, 21; Muhammad Danial Asmawi, 23; R. Tharmaraj, 28, dan E. Paranitharan, 29, berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Peguam kepada Tharmaraj dan Paranitharan, Charan Singh dan S. Morgan, memohon mahkamah agar tertuduh diberikan peluang. 

“Mereka telah insaf atas kesalahan dilakukan. 

"Mereka juga telah berkawan dan berjabat tangan menunjukkan teladan yang baik kepada mahkamah,” kata Charan Singh, kepada media tempatan. 

Dalam prosiding sama, Muhamad Kuzairin Kamaruddin, 31, pula didenda RM600 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Syaffiq Syazwan Baharom, 23, di lokasi, masa dan tarikh sama.


 

Advertisement

Must Watch Video