Skip to main content

Bola Sepak

Ligue 1: Mbappe tidak mahu sambung kontrak di PSG

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mbappe.jpg
Kylian Mbappe dilaporkan sudah memberitahu Paris Saint-Germain (PSG) bahawa dia tidak akan menghidupkan klausa lanjutan setahun dalam kontraknya dan ia bermakna dia boleh dijual ke kelab lain pada musim panas ini atau meninggalkan pasukan itu secara ejen bebas pada penghujung musim depan.

Pemain berusia 24 tahun itu, yang menyertai PSG daripada Monaco dengan tanda harga £160 juta (RM926 juta) pada 2018 -- rekod dunia bagi seorang pemain remaja -- sehingga kini terus dikaitkan untuk menyertai Real Madrid.

Berdasarkan laporan, pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu mengejutkan pengurusan tertinggi PSG dengan keputusan itu, yang dimaklumkan menerusi satu surat rasmi dan ia tiba selepas pengumuman Lionel Messi meninggalkan pasukan itu untuk menyertai kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami.

PSG kini kelihatan perlu mempertimbangkan sama ada mereka akan menjual Mbappe -- yang menjaringkan hatrik ketika Perancis tewas kepada Argentina dalam final Piala Dunia 2022 -- atau membiarkan pemain itu meninggalkan kelab berkenaan secara percuma selepas kontraknya tamat pada Jun 2024.

Laporan di Perancis berkata PSG masih berharap agar Mbappe dapat melanjutkan kontraknya.

Bagaimanapun, Madrid kini kian terdesak untuk memiliki Mbappe selepas kehilangan penyerang utama, Karim Benzema, yang memilih untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad.
 

Advertisement

Must Watch Video