Terlalu bimbang pintu gol dibolosi lawan mengundang kekalahan Penang FC 0-2 kepada Kelantan FC dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam tadi.

Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt, mengakui anak-anak buahnya itu terlalu defensif dan bersikap berhati-hati walaupun sudah membuat persediaan awal bagi perlawanan itu.

Mereka menjangkakan kesukaran terutama berdepan lawan dari Kelantan yang sudah tentunya memburu mata kemenangan pertama mereka.

“Pemain terarah ke posisi yang tidak sepatutnya. Tidak bagus kerana akan berterusan kehilangan bola dan gagal untuk mendapatkannya semula.

“Ini memberi ruang Kelantan FC kuasai bola manakala kami pula kehilangan banyak bola dan hantaran-hantaran mudah,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu.

Yee Fatt menjangkakan Harimau Kubang mendapat kelebihan dalam babak kedua apabila pertahanan tuan rumah, Christian Mangaron Rontini, dilayangkan kad merah tetapi keadaan kembali setara selang seminit apabila penyerangnya, Hassan Saad, pula menerima nasib sama.

“Walaupun beraksi dengan 10 pemain, ada lebih banyak peluang untuk pemain menghasilkan gol namun tuah tetap tidak datang.





“Kami ambil ini sebagai pengajaran untuk perbaiki permainan.

“Kami perlu bermain dengan lebih baik dan normal dalam perlawanan akan datang tanpa terlalu bimbang atau tertekan untuk berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

The Red Warriors (TRW) membuka tirai jaringan melalui tandukan Ishmaheel Akinade pada minit ke-22 disusuli gol kedua oleh Mohamad Fazrul Amir Md Zaman hasil rembatan yang menembusi gawang pada minit ke-36.

Penang FC merekodkan dua keputusan seri dengan Kuala Lumpur City 2-2 dan Negeri Sembilan 0-0 sebelum ini.



Kredit: Sinar Harian