"Sepatutnya kejayaan ini diraikan bersama tetapi dia sudah tiada..."
Di sebalik kerja keras, penguasaan di atas padang dan keinginan untuk menghadirkan pingat utama buat Selangor terlihat di mata kasar, namun hanya pemain sahaja yang tahu betapa kejayaan ini demi memenuhi hasrat Presiden Persatuan Kriket Selangor, Sehar Sinandurai, yang meninggal dunia sebulan lalu.
Kapten pasukan, Muhammad Ashraf Azmi, mendedahkan kejayaan manis Selangor memastikan pingat emas menerusi acara T10 dan T20 adalah impian mendiang, namun ia hadir ketika mendiang sudah tiada .
"Untuk hari ini, sebelum perlawanan kami rasakan aksi akan lebih tegang, kerana kami tertekan untuk raih dua gol.
"Tetapi kami lebih tenang, beraksi seperti perancangan dan ia menjadi di dalam padang.
"Sepatutnya kejayaan ini diraikan bersama tetapi dia sudah tiada," katanya.
Acara terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menyaksikan penguasaan skuad Merah Kuning di Padang Kriket Oval Bayuemas dengan Selangor mengatasi Wilayah Persekutuan menerusi kelebihan 6 wiket dalam saingan T20.
Ia merupakan kutipan emas ke-100 buat Selangor yang menjadi penutup termanis buat Ashraf apabila turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai kejohanan secara keseluruhan.
"Untuk acara SUKMA terakhir saya, saya sangat berpuas hati dapat sumbang emas ke-100 buat Selangor." tambahnya.