Pemangku jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali, meletakkan harapan yang tinggi supaya kemenangan menumpaskan Penang sebagai pencetus kebangkitan skuad Peteh.
Jurulatih berusia 48 tahun itu turut mengharapkan pemainnya mampu mengekalkan momentum kemenangan dalam perlawanan seterusnya termasuk Piala Malaysia.
Terdahulu skuad Penyu terpaksa menanti lebih dua bulan sebelum menamatkan kemarau tanpa kemenangan apabila menumpaskan Harimau Kumbang 1-0 hasil jaringan pertahanan meningkat naik, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili, dalam babak pertama perlawanan.
"Pertama sekali, syukur Alhamdulillah serta tahniah kepada semua pemain walaupun sukar untuk memenangi perlawanan malam tadi tetapi harus bersyukur dapat meraih tiga mata penuh.
"Secara keseluruhan, saya sangat berpuas hati dengan seluruh pemain terutama sekali kembalinya Rahadiazli Rahalim selaku penjaga gol yang turun buat kali pertama musim ini.
"Cumanya, sayang banyak peluang tidak dapat diterjemah kepada gol," katanya selepas perlawanan.
Shaiful Shamsudin
Sat Nov 02 2024