Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Safawi Rasid bagi membantu pasukan itu yang kini berada dalam prestasi tidak menentu.

Menurutnya, TFC akan cuba mendapatkan Safawi sekiranya Johor Darul Ta'zim (JDT) sedia melepaskan pemain sayap kebangsaan itu.

"Sudah tentu saya berminat terhadap beberapa pemain seperti yang sudah kita bincangkan dan pemain yang ada kualiti seperti Safawi.

"Dia pernah bersama dalam pasukan saya pada 2015 dan saya sangat mengenalinya selain dia adalah pemain yang berpengalaman.

"Memang saya ada beberapa pemain sayap tetapi mereka tidak berada pada tahap yang sama dengan Safawi," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan menentang Selangor pada Selasa.

Safawi ketika ini dipinjamkan daripada JDT ke kelab Liga Thailand, Ratchaburi FC selama satu musim untuk mendapatkan minit permainan.

Bagaimanapun, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu tidak selesa bermain di kelab Thailand itu dan mahu kembali beraksi di Liga Malaysia.

Tunku Ismail masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu membenarkan Safawi menamatkan tempoh pinjaman lebih awal.


Sementara itu, Steinbruckner mengakui kecewa dengan kekalahan besar 1-5 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu.

Pengendali kelahiran Croatia itu percaya deretan kesilapan pemain menjadi punca kekalahan tersebut.

"Saya kecewa kerana banyak kesilapan dilakukan pemain. Selangor mempunyai kualiti pemain dan menghukum kesilapan kami.

"Selangor boleh menang lebih daripada lima gol. Ia sangat mengecawakan dan kelihatan seperti pemain saya bermain seperti sudah bercuti hari raya," katanya.

kredit: Sinar Harian