PDRM 1 SRI PAHANG 2

Sri Pahang FC mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super 2023 apabila menewaskan PDRM FC 2-1 di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.

Pasukan pelawat itu memperoleh dua jaringan dalam separuh masa pertama hasil jaringan Baqiuddin Shamsudin dan Kpah Sherman sebelum PDRM cuba bangkit dalam babak berikutnya dengan jaringan James Okwuosa.

Tok Gajah berada di depan seawal minit ke-18 apabila percubaan lintang Baqiuddin terbias ke kaki pertananan lawan sebelum menerjah ke jaring PDRM.

Empat minit berselang, Sherman menggandakan kelebihan itu apabila bijak menemui hantaran pendek Syazwan Andik Mohd Ishak untuk pasukan bimbingan Fandi Ahmad berkenaan selesa ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.

PDRM terus mempamerkan aksi melawan dalam babak kedua dan berhasil merapatkan jurang menerusi jaringan Okwuosa, yang menanduk masuk lambungan Amirul Waie Yaacob untuk menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin pada minit ke-76.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur City FC meraih kemenangan pertama musim ini apabila melakar kejutan untuk menewaskan Sabah FC 2-0 di Stadium KLFA, Cheras.

T. Saravanan meletakkan skuad Warga Kota itu di depan pada minit ke-15 apabila menerima bola hantaran jauh Sebastian Avanzini sebelum melakukan satu lambungan gemilang untuk menewaskan Damien Lim.

Sean Gianelli kemudian mengesahkan kemenangan tuan rumah menerusi satu lagi jaringan dalam waktu kecederaan.

Keputusan lain:
KEDAH DARUL AMAN 1 PENANG 0
KUCHING CITY 1 KELANTAN UNITED 1