Biarpun mengakui gembira Selangor FC mula mendominasi permainan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super.

Namun pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe menegaskan masih terdapat ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan The Red Giants dalam memantapkan permainan selepas ini.

"Ya, kami nampak pemain mempamerkan persembahan terbaik dalam pergerakan sebagai satu pasukan baik semasa bertahan dan menyerang.

"Namun sebagai jurulatih, Selangor sebenarnya masih belum mencapai sesuatu yang pasukan ini perlukan dalam mengekalkan persembahan mantap.

"Saingan liga masih lagi panjang dan pemain-pemain perlu bekerja lebih keras meningkatkan prestasi bagi memastikan pasukan berada dalam kedudukan terbaik liga musim ini," katanya selepas perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa.

Anak buah Cheng Hoe melakar kemenangan ketujuh liga bagi mengumpul 22 mata setelah mengharungi sembilan perlawanan selepas membenam TFC, 5-1.

Gol Selangor dijaringkan Ayron del Valle (minit ke-17, 71), Faisal Abdul Halim (minit ke-21) Harith Haiqal (minit ke-40) dan Aliff Haiqal (minit ke-84) manakala gol skuad Penyu dijaringkan pemain import dari Croatia, Ivan Mamut (minit ke-61).


Dalam masa sama, Cheng Hoe mengakui dia dan barisan jurulatih bangga dengan komitmen pemain-pemain apabila menang semua perlawanan sepanjang Ramadan setakat ini.

"Saya dan barisan kejurulatihan gembira dengan pemain-pemain apabila mereka fokus terhadap perlawanan walaupun berpuasa.

"Kami bangga apabila pemain-pemain yang berpuasa berjaya mengamalkan permakanan dengan betul.

"Namun begitu seperti saya katakan sebelum ini jangan berpuas hati, sebalik perlu bekerja lebih keras lagi kerana masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi," katanya.

kredit: Sinar Harian