LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Sabah tidak mahu kecewakan penyokong layan JDT di Likas
Sabah FC bertekad untuk tidak mengecewakan penyokong mereka apabila melayani kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim FC (JDT), di Stadium Likas malam ini.
Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee, berkata rekod bersih saingan liga di Likas musim ini merupakan motivasi Sabah bagi menghadirkan tentangan sengit kepada skuad berkualiti kendalian Esteban Solari itu.
“Semua tahu bukan satu tugas mudah apabila berdepan JDT yang berada di prestasi konsisten dalam saingan liga dan ini merupakan cabaran terbesar buat Sabah.
Iklan
“Meraih keputusan positif berdepan JDT juga penting kerana kami mahu memastikan Sabah kekal bersaing dalam kelompok pasukan terbaik Liga Super musim ini.
“Sekiranya, pemain Sabah melipatgandakan usaha memberikan tentangan sengit disertai kesungguhan dan permainan berkualiti tinggi, saya percaya penyokong akan faham di penghujung perlawanan,” katanya.
Sebagai rekod, perlawanan pusingan pertama sebelum ini menyaksikan JDT menewaskan Sabah 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada April lalu.
Dalam pada itu, Kim Swee menegaskan perlawanan menentang Harimau Selatan merupakan ujian sebenar buat pemain import, Ramon Machado, yang telah meledak enam gol dan dua bantuan gol dalam lima penampilan bersama The Rhinos.
“Ya, biarpun Ramon baru menyertai Sabah, dia telah menampilkan persembahan cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Jadi, apabila berdepan JDT, pasukan yang kurang dibolosi musim ini, ia merupakan ujian sebenar buat Ramon bagi membuktikan kemampuannya.
“Biarpun begitu, saya tegaskan di sini menjaringkan gol kemenangan bukannya datang daripada Ramon, tetapi juga menjadi tanggungjawab semua pemain Sabah,” katanya lagi.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video