Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: PDRM sedia rombak barisan pemain hadapi Negeri Sembilan

eddy-pdrm.jpg
Penolong ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, tidak menolak kemungkinan pasukannya akan melakukan rombakan pemain menjelang aksi Liga Super bertemu Negeri Sembilan di Paroi malam esok.

Apa yang melegakan barisan kejurulatihan The Cops adalah kesemua pemain mereka ketika ini bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Tambah Eddy, penting untuknya menilai tahap kecergasan setiap pemain memandangkan mereka turut perlu menghadapi aksi berdepan Kuching City dalam final pertama Piala Cabaran MFL di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu depan.

Selain itu, Eddy juga mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan rangkaian penyerang Negeri Sembilan, yang dibarisi Casagrande, Herold Goulon dan Shahrel Fikri Fauzi.

"Setakat ini persiapan kami berjalan dengan baik dan semua pemain bebas daripada kecederaan dan ada pemain yang sudah kembali daripada tugasan antarabangsa, jadi ia sesuatu yang baik buat pasukan kami menjelang aksi liga menentang Negeri Sembilan dan final Piala Cabaran," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Ada kemungkinan kami akan melakukan beberapa pertukaran pemain dan ia bergantung kepada kesesuaian taktikal yang akan digunakan.

"Kami faham Negeri Sembilan memiliki pemain yang amat berkualiti. Mereka memiliki pemain dengan ketinggian seperti Goulon, Cassagrande dan Shahrel Fikri.

"Jadi, kami perlu memberikan lebih perhatian kepada pemain-pemain ini," katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video