NEGERI SEMBILAN 0 KL CITY 3

Biarpun bermain di tempat sendiri buat kali pertama, juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan, mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dan masih gagal mengutip sebarang mata dalam saingan Liga Super Malaysia.


Pertemuan menentang juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) menyaksikan skuad The City Boys itu menewaskan pasukan tuan rumah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Pemain kebangsaan, Brendan Gan, membuka akaun jaringannya bersama juara Piala Malaysia 2021 selepas tandukkan derasnya berjaya menewaskan penjaga gol, Aqil Razak, pad minit ke-27 permainan.

Masuk kepada babak kedua, pemain import Sang Rusa, Jacque Faye, dilayangkan kad merah selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati pemain itu melakukan terjahan keras terhadap Declan Lambert.

Anak-anak buah Azzmi Aziz terus dilanda malang apabila ketua pasukan KL City, Paolo Josue, menggandakan kelebihan selain menutup ruang buat Negeri Sembilan mencipta kebangkitan.

Sebelum wisel penamat dibunyikan, S. Sharvin memastikan skuad kendalian Miroslav Kuljanac membawa pulang tiga mata penuh sebelum aksi bertemu Selangor, Julai ini.