Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Nafuzi tabik semangat juang Kedah di Likas

kedah.jpg
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, mengakui berpuas hati dengan komitmen diberikan pemain skuad Kenari itu selepas kelab utara tanah air berkenaan mengakhiri saingan Liga Super dalam kelompok empat teratas musim ini.

Malah, jelas bekas pengendali Terengganu FC itu, yang memulakan penampilan pertama bersama KDA musim ini, saingan pemburuan tempat kedua dan ketiga juga sengit sehingga baki dua perlawanan terakhir liga.

"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan segala yang diberikan pemain, satu pencapaian cemerlang, terutama buat musim pertama saya bersama pasukan Kedah.

"Tahniah kepada pasukan Sabah yang mendapat tempat ketiga dalam perebutan dengan Kedah malam ini. Saya rasa persembahan yang baik dipamerkan kedua-kedua pasukan.

"Separuh masa pertama bermula agak tertekan menyebabkan kami melepaskan dua gol mudah yang memberikan keselesaan kepada Sabah.

"Biarpun begitu, Kedah bermain lebih baik dalam separuh masa kedua berbanding separuh masa pertama. Kami berusaha bangkit, namun cara bertahan Sabah agak baik pada malam ini (Ahad)," katanya selepas perlawanan itu.

Mengenai penampilan terakhir tonggak Sabah, Amri Yahyah, bersama The Rhinos kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan itu, Nafuzi berkata: "Amri Yahyah seorang pemain yang sukar dicari ganti.

"Kita tengok dari permulaan karier sehingga ke penghujung kariernya, dia begitu cemerlang dan konsisten biarpun berada dengan mana-mana pasukan.

"Secara peribadi, saya sangat bangga dapat melihat Amri Yahyah cemerlang awal penglibatan sehingga akhir kariernya dan adalah sukar mencari pemain pengganti seperti Amri Yahyah. Saya ucapkan selamat maju jaya buat Amri Yahyah dalam bidang yang diceburi selepas ini."

KDA mengakhiri cabaran dalam kedudukan keempat terbaik liga dengan mengumpul 53 mata - 17 menang, dua seri, tujuh tewas - setelah mengharungi 26 perlawanan.

Skuad Kenari itu musim lalu mengakhiri saingan di tempat kelapan liga selepas mengharungi 22 perlawanan - lapan menang, tiga seri, 11 tewas.

-- Sinar Harian

Advertisement

Must Watch Video