Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Nafuzi mahu Kedah elak kejutan skuad muda Perak

nafuzi-zain.jpg
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, tetap melihat Perak FC sebagai satu ancaman apabila turun menentang skuad muda itu dalam aksi pertama Liga Super 2023 di Stadium Perak malam esok.

Katanya, Sang Kenari perlu mengelak dikejutkan oleh skuad bimbingan Datuk Lim Teong Kim itu,yang pastinya mahu mendapatkan keputusan positif dan mata di laman mereka.

"Memang misi kami untuk tiga mata di Perak walaupun perkara ini sukar, kami harus yakin dengan keupayaan dan kemampuan kami. Saya hanya harap pemain dapat melakukan yang terbaik.

"Kejutan tak mustahil berlaku dan saya pun pernah mengalami situasi dan pengalaman sebelum ini (tewas dikejutkan pasukan lawan). Banyak pengajaran dan pengalaman saya sebelum ini," katanya semasa ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim hari ini.

Menurut Nafuzi, pemain KDA FC mengalas harapan yang tinggi daripada semua penyokong pasukan itu dan permulaan positif perlu dicatatkan bagi mendapatkan momentum positif.

"Perak FC kebanyakkannya adalah pemain muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Memang kami tahu kami akan mengalami kesukaran, di mana kami tidak akan diberikan ruang dengan mudah dalam perlawanan ini.

"Saya tidak terlalu melihat sangat kepada lawan, yang penting adalah persiapan pasukan KDA FC untuk berjumpa dengan mana-mana pasukan sekalipun," katanya lagi.

Tambah Nafuzi, beberapa pemain The Bos Gaurus juga mempunyai saiz yang tinggi dan KDA FC tidak boleh leka dan memandang mudah ancaman skuad muda ini.

"Dalam aksi pertama ini, kami memang mahu mendapatkan mata penuh dan berharap apa yang dipamerkan dalam aksi pramusim dapat ditambah baik dan bermain secara normal seperti dilakukan di Turkiye," ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video