LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Lee tuck mahu Kedah bangkit bertemu PDRM
Tonggak Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Tuck, mahu pasukannya kembali bangkit dalam aksi Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hujung minggu ini.
Kekalahan tipis 0-1 Sang Kenari kepada Terengganu FC (TFC) pada Isnin lalu menyaksikan mereka keciciran tiga mata berharga pada saat mahu kekal berada dalam kelompok atasan liga super.
"Sukar buat saya yang sekadar melihat dari jauh apabila kami tewas 0-1 kepada TFC. Kami keciciran mata dalam saingan yang semakin sengit di kelompok pasukan teratas liga.
Iklan
"Berbekalkan semangat selepas dapat kembali beraksi bersama pasukan dalam aksi menentang PDRM FC kali ini, saya mahu memastikan pasukan bangkit menghasilkan tiga mata yang kami idamkan dalam perlawanan ini," katanya.
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain, kapten pasukan, Manuel Ott, dan Tuck tidak dapat diturunkan dalam aksi menentang TFC disebabkan menjalani hukuman penggantungan perlawanan.
Nafuzi dan Ott masing-masing digantung tiga dan dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah sewaktu KDA FC tewas kepada PDRM FC di laman sendiri dalam aksi Liga Super pada 4 Mac lalu.
Tuck pula digantung berikutan memungut tiga kad kuning dalam beberapa aksi sebelum ini.
Bagaimanapun, pemain naturalisasi negara itu tetap melihat perlawanan menentang PDRM FC ini merupakan satu cabaran sengit selepas tewas 0-1 dalam aksi pertama kepada kelab berkenaan.
Menurutnya, kemasukan dua pemain import baru, iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede, pada pertengah musim ini diyakini mampu memberi impak positif kepada Sang Kenari.
"Kualiti dan pengalaman yang ada pada kedua-dua pemain itu dilihat mampu membantu meningkatkan lagi tahap serta corak permainan yang dimahukan pasukan.
"Walaupun mereka tidak punyai banyak masa membentuk keserasian, mereka bekerja keras untuk cepat menyesuaikan diri sepanjang latihan," ujarnya lagi.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video