KL City terpaksa bertahan dengan 10 pemain lebih 50 minit ketika berdepan Kuching City untuk meraih keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Cheras sebentar tadi.

Separuh masa pertama yang penuh dengan aksi serta beberapa keputusan VAR menyajikan aksi KL City bertemu Kuching City di Stadium Cheras, sebentar tadi.

KL City menerima kunjungan Kuching City dalam aksi pertama Liga Super bagi musim 2024-25.

Seawal minit pertama, Kamal Azizi Mohamad Zabri yang mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan oleh J. Partiban.

Ia bagaimanapun tidak menjejaskan permainan mereka apabila berjaya mendahului perlawanan menerusi Paulo Josue pada minit ke-12, meraikan jaringannya dengan 'siu' mirip pemain Selangor, Faisal Halim, sebagai tanda bersama pemain yang berdepan musibah ketika ini.

Kuching City tidak terjejas dengan gol pendahuluan, apabila mereka berjaya mendapatkan gol menerusi import dari Jepun, Yuki Tanigawa dua minit kemudian namun dibatalkan selepas penilaian VAR.

Skuad Kuching kendalian Aidil Sharin Sahak terus mengasak benteng KL City dan akhirnya mendapatkan gol penyamaan menerusi Pedro Henrique pada minit ke-19.

Tuan rumah terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain susulan VAR menunjukkan import baru KL City, Adrijan Rudovic, melakukan terjahan keras ke arah Jordan Mintah.

Tiada jaringan tambahan terhasil dengan keputusan pasukan menuju bilik persalinan dengan keputusan 1-1.

Kelebihan pemain menyaksikan Kuching City berusaha untuk melancarkan serangan bertali arus namun sentuhan penyudah klinikal gagal ditemui.

Tamat 90 minit dengan keputusan 1-1 menyaksikan KL City berjaya mengelak daripada kekalahan dan berpuas hati dengan satu mata.

KL akan kembali beraksi di Cheras bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) 25 Mei ini sementara Kuching bakal menerima kunjungan Sri Pahang.