Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: KL City, Selangor sama kuat di Cheras

kl-selangor.jpg
KL CITY 3 SELANGOR 3

Tiada raja Lembah Klang dapat dinobatkan dalam pertemuan Liga Super di Cheras selepas Kuala Lumpur City FC terikat 3-3 dengan Selangor FC sebentar tadi.

Keputusan terbaru itu juga menyaksikan Selangor menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut kepada KL City sepanjang pertemuan musim lalu.

Aksi di Stadium KLFA -- yang tertunda selama 40 minit kerana hujan lebat -- menyaksikan penyerang import baru Red Giants, Herlison Caion, menjaringkan sepakan penalti dalam setiap separuh masa untuk pasukannya mengikat 10 pemain The City Boys berbaki 12 minit terakhir.

Selangor terlebih dahulu berada di depan selepas seorang lagi penyerang import baru, Hyuri Henrique, membuka jaringan dengan menanduk masuk bola sepakan percuma Baha' Abdel-Rahman yang sempat terbias ke kaki Irfan Zakaria sebelum menuju ke dalam gawang Kevin Mendoza pada minit ke-18.

Bagaimanapun, tidak sampai dua minit Selangor meraikan jaringan itu, KL City kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret jarak jauh Zhafri Yahya.

Pelawat kembali berada di depan sebaik Caion menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-27 selepas dijatuhkan Kenny Pallraj.

Tetapi sekali lagi kerapuhan benteng skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner itu diekspolitasi Warga Kota, kali ini menerusi Hadin Azman yang menanduk masuk lintangan ketua pasukan, Paulo Josue.

Aksi dalam babak kedua menyaksikan KL City berada di depan buat kali pertama apabila Ryan Lambert menemui sasaran pada sejam perlawanan selepas memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang Khairulazhan Khalid.

Padah menimpa skuad bimbingan Bojan Hodak itu apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 17 minit terakhir gara-gara layangan kad kuning kedua buat Giancarlo Gallifuoco.

Selangor memanfaatkan kelebihan itu untuk merancanakan serangan bertalu arus ke gawang KL City dan berhasil memperoleh sepakan penalti selepas bola sepakan Syahir Bashah terkena tangan Irfan dan Caion tidak mensia-siakan kesempatan itu untuk menjaringkan gol kedua peribadinya.

Selepas ini, KL City akan meneruskan saingan liga dengan bertandang ke laman Kedah Darul Aman FC pada Rabu depan tetapi Selangor tidak akan beraksi menentang Sri Pahang FC gara penularan wabak COVID-19 dalam kem Tok Gajah.

 
 

Advertisement

Must Watch Video