LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Kedudukan kedua Selangor masih belum selamat
Selangor FC perlu terus fokus dan mengelakkan kesilapan yang boleh menyebabkan pasukan itu keciciran mata sekiranya mahu meraih slot ke saingan Piala AFC musim depan.
Pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe, berkata kedudukan kedua dalam liga ketika ini masih belum selamat kerana masih mempunyai banyak baki perlawanan yang perlu diharungi.
“Kami masih ada lapan atau sembilan perlawanan, sudah tentu kami fokus kepada setiap perlawanan dan tidak boleh kehilangan mata.
Iklan
“Apa yang penting, kami perlu fokus dan percaya dan mencapai sasaran. Bola sepak tidak mengenai jangka pendek sahaja kerana kami perlu memikirkan mengenai jangka panjang.
“Sebab itu pemain kena bekerja keras untuk mencapai tahap tertentu. Saya yakin dengan pemain yang bagus dan pihak pengurusan yang baik, kami akan terus fokus bagi mencapai matlamat ditetapkan pasukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Sabah FC pada Ahad lalu.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor meraih tiga mata berharga menerusi jaringan Ayron Del Valle pada minit ke-23, sekaligus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga.
Bagi Cheng Hoe, kemenangan itu amat bermakna apatah lagi diraih menentang Sabah, yang sememangnya merupakan sebuah pasukan yang sukar untuk dikalahkan.
“Saya fikir sangat istimewa kami dapat tiga mata, ia penting bagi kami. Pemain melaksanakan tugas dengan baik dan mereka berjuang hingga penamat walaupun Sabah juga memberikan saingan yang sengit.
“Jika melihat kepada persembahan keseluruhan, kami masih perlu atasi beberapa kelemahan, terutama daripada aspek transisi serangan ke pertahanan apabila kami agak leka ketika lawan menyerang.
“Kami tak boleh hilang fokus dan hilang kawalan, sebaliknya kami perlu lebih tersusun dalam perlawanan yang akan datang selepas ini,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video