Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Ke hadapan YBhg Datuk Azizulhasni Awang,
Salam sejahtera kepada John Beasley.
Terlebih dahulu, tahniah atas pencapaian Datuk yang terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa, termasuk mengutip emas dalam acara keirin di Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Aichi-Nagoya.
Selaku wartawan dengan pengalaman melangkaui tiga dekad, saya percaya kecemerlangan atlet wajar diraikan, sebagaimana isu, dasar dan keputusan yang melingkari sukan negara patut dipersoalkan.
Kedua-duanya boleh berjalan serentak.
Yang penting, dalam menghargai pencapaian seseorang, usah kita menggugurkan kewajipan untuk bertanya soalan.
Apapun saya ucap terima kasih kepada Datuk yang menyentuh soal etika kewartawanan dan mengkritik tulisan saya menerusi hantaran bertarikh 9 Oktober 2026 di media sosial, ruang yang terkenal dengan ketelitian fakta, kesabaran dan nuansa perbahasan.
Namun sebelum Datuk dan Beasley menuduh saya tidak beretika, izinkan saya bertanya satu soalan mudah.
Bahagian manakah dalam kolum saya On The Line disiarkan akhbar The Star pada 28 Jun lalu, yang tidak benar?
Jika ada kesilapan fakta, perbetulkan.
Bentangkan data yang lebih tepat. Andai ada konteks yang tercicir, lengkapkannya.
Usah berkias.
Artikel Longevity Does Not Necessarily Mean Legitimacy bukanlah serangan terhadap Datuk mahupun Beasley. Sebaliknya ia menimbulkan satu persoalan yang sah dalam mana-mana sistem sukan berprestasi tinggi.
Adakah tempoh perkhidmatan yang panjang secara automatik membuktikan kejayaan sesuatu sistem?
Hujah saya mudah. Dalam sukan, seperti juga dalam organisasi lain, tempoh perkhidmatan yang panjang tidak semestinya membuktikan legitimasi atau keberkesanan.
Ukuran sebenar sesuatu program bukan sekadar berapa lama seseorang kekal dalam sistem, tetapi sejauh mana ia mampu melahirkan generasi pelapis secara berterusan.
Artikel itu juga tidak pernah menafikan jasa Datuk, bahkan saya secara jelas mengiktiraf Datuk sebagai atlet luar biasa yang menjadi pengecualian kepada kebiasaan.
Isu yang saya bangkitkan ialah mengapa ramai atlet yang cemerlang di pentas pelapis, gagal melakukan transisi ke peringkat elit.
Justeru persoalan yang dibangkitkan ialah:
• Mengapa ramai juara remaja tidak berkembang menjadi atlet senior bertaraf dunia?
• Apakah ada kelemahan dalam laluan kerjaya pembangunan atlet?
• Adakah kita terlalu bergantung kepada beberapa individu sehingga mengabaikan pembinaan struktur yang lebih mampan?
• Adakah sistem yang ada benar-benar berjaya menghasilkan kesinambungan kecemerlangan?
Ini bukan serangan peribadi.
Ini persoalan dasar yang menuntut jawapan semua pemegang taruh.
Untuk makluman Datuk, artikel itu ditulis 20 hari selepas sesi town hall Hala Tuju Sukan Berbasikal Program Pembangunan Negeri di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 8 Jun lalu serta sembilan hari selepas Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua jurulatih tempatan yang didakwa terbabit dalam usaha mengganggu keharmonian pasukan kebangsaan serta hubungan dengan Beasley.
Dalam sesi yang turut dihadiri Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan Beasley selaku Pengarah Teknikal PKBM, tujuh jurulatih negeri bangun menyuarakan pandangan serta memberi maklum balas terhadap program pembangunan sedia ada.
Bahkan seorang jurulatih veteran mencadangkan agar pusat latihan serantau diwujudkan semula membabitkan atlet berusia 13-16 tahun agar mereka diberi corak latihan sebagaimana yang dilalui Datuk ketika remaja dahulu – menerusi pendedahan kepada semua acara trek agar seorang pelumba itu mengasah kepakaran teknikal dan taktikal serta kawalan gear.
Dalam menukilkan artikel itu, saya tidak menafikan peranan Beasley, yang saya kenali sejak 2006, dalam pembangunan berbasikal trek negara.
Namun dalam mana-mana program sukan bertaraf dunia, kejayaan seseorang jurulatih juga wajar dinilai berdasarkan legasi yang ditinggalkan.
Berapa ramai atlet baharu berjaya dilahirkan? Adakah ilmu dan pengalaman dipindahkan kepada jurulatih tempatan?
Adakah sistem menjadi lebih kuat selepas pemergiannya? Dalam artikel tersebut saya turut merujuk beberapa nama yang pernah menyerlah ketika remaja seperti Firdaus Zonis, Arfy Qhairant Amran, Shahriz Effendi Shahrin, Syamil Baharum, Hamdan Hamidun dan Mohd Fattah Amri Zaid.
Persoalan yang dibangkitkan bukan mengenai bakat mereka, tetapi mengapa begitu ramai atlet berpotensi tidak berjaya melalui laluan ke peringkat elit secara konsisten.
Soalan-soalan ini bukan penghinaan.
Ia adalah sebahagian daripada proses semak dan imbang yang normal dalam mana-mana organisasi yang serius memburu kecemerlangan.
Dalam masyarakat yang terbuka, wartawan mahupun jabatan netizen berhak mengulas prestasi atlet dan jurulatih, apatah lagi dengan pengalaman saya diberi kesempatan membuat liputan perlumbaan Rosman Alwi, M. Kumaresan, Wan Maizan Wan Ahmad Radzi selain merakam kisah pertikaman lidah dua jurulatih Josiah Ng di Sukan Olimpik Athens 2004, Fred Magne dan Mark Whitehead. Saya turut menjadi saksi Josiah menjadi penunggang pertama negara mara ke final acara keirin di pentas Olimpik dalam saingan yang dramatik di Velodrom Maroussi, di Athens -- empat tahun sebelum Datuk membuat debut di pentas Olimpik 2008.
Datuk, saya, sepertimana rakan-rakan seperjuangan saya dalam industri media, terbuka kepada pandangan berbeza. Kami mengiktiraf hak atlet dan jurulatih mengulas tulisan wartawan.
Apa yang membezakan kedua-duanya ialah hujah dan fakta yang ditampilkan.
Dalam analisis akhirnya, saya menghormati hak Datuk dan Beasley untuk tidak bersetuju dengan pandangan saya.
Malah percanggahan pendapat adalah tanda masyarakat yang matang.
Namun kewartawanan yang baik dan objektif kadangkala menimbulkan rasa tidak selesa kepada subjeknya. Sejarah menunjukkan bahawa kemajuan tidak lahir daripada mereka yang sentiasa dipuji.
Ia lahir daripada kesediaan mendepani soalan yang berat.
Artikel saya hanya mengemukakan satu persoalan yang sehingga hari ini belum dijawab secara tuntas:
Jika sistem berbasikal trek negara begitu berjaya, di manakah generasi pelapisnya yang mampu mengikut jejak Datuk?
Sehingga persoalan itu dijawab, perdebatan sebenar bukanlah mengenai etika kewartawanan.
Isu sebenar ialah masa depan berbasikal trek negara selepas Datuk mengundur diri.
Sayonara John! Selamat berjaya di Jepun! Andai ada kesempatan, kita boleh menjamu selera di Tokyo satu hari nanti. Khabarnya Menteri-menteri di Jepun bagus-bagus belaka! Jangan lupa kisah anda mencurah perasaan selama 40 minit di mixed zone sejurus selepas penyertaan Datuk dibatalkan di Paris pada Ogos 2024.
Kepada Datuk, selamat berjaya dalam memburu emas di Los Angeles 2028. Semoga Datuk terus dikurniakan kesihatan, kebijaksanaan dan kejayaan, di dunia serta akhirat.
Yang benar,
Rizal Hashim
Pemenang Anugerah Kewartawanan Sukan Institut Akhbar Malaysia (MPI) 2005
Pemenang Utama Penulis Bolasepak AFC-SAM 2007
Pemenang Utama Anugerah SAM 2014
Pemenang Anugerah Siebel SAM 2025
P/s: Maaf tidak menjawab kiriman mesej Datuk. Biasanya Datuk juga tidak menjawab panggilan mahupun mesej saya. Saya juga faham sama ada mesej itu ikhlas atau berbaur sindiran, apatah lagi hantaran-hantaran Datuk banyak menghentam pengkritik sejak artikel itu diterbitkan! Disebabkan saya melanggar etika kewartawanan dari kaca mata Datuk, saya dengan rasminya menarik diri daripada dokumentari mengenai kisah hidup Datuk yang sedang dalam proses disiapkan oleh sahabat saya, Datuk Saniboey Mohd Ismail.