Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Bola Sepak

Liga Super: Kedah perlu manfaat peluang ketika bertemu Perak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kedah-new.jpg
Pengendali Kedah Darul Aman (KDA), Nafuzi Zain, mahu anak buahnya memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol apabila menerima kunjungan Perak pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman Jumaat ini.

Menurutnya, pada aksi menentang Selangor pada Sabtu lalu, mereka berjaya mencipta peluang namun penyudahnya yang tumpul menyaksikan terpaksa menerima keputusan tewas tipis 1-0 kepada lawan di Petaling Jaya.

“Bagi saya yang penting kita mencipta peluang, jika tidak dapat mencipta peluang, itu yang saya risau. Mana-mana bahagian yang perlu kita perbaiki, kita akan lakukan bagi persiapan perlawanan seterusnya (menentang Perak).

“Mungkin pada masa itu (menentang Selangor) pemain berada dalam keadaan tekanan tinggi atau faktor-faktor lain tetapi kita perlu perbaiki lagi sebab bila sudah dapat peluang kita perlu manfaatkan (jaringkan gol). Peluang yang ada kita perlu gunakan seratus peratus,” katanya mengulas aksi ketiga Liga Super menjelang Jumaat ini.

Kemenangan kedua diburu oleh Sang Kenari apabila turun kali pertama beraksi di laman sendiri musim ini selepas dua perlawanan awal berturut-turut berlangsung di laman lawan.

KDA kini berada di tangga ke-10 selepas mencatatkan rekod satu menang dan satu kalah dalam dua siri perlawanan di gelanggang lawan tanpa sebarang mata.

Biarpun menang 0-1 ke atas PDRM pada aksi pertama, tiga mata tersebut dipotong susulan denda yang diputuskan oleh badan bebas, First Instance Body (FIB) akibat masalah tunggakan gaji yang dihadapi pada musim 2023.

Sementara itu, mengulas kelibat penyerang baharu KDA, Ebenezer Assifuah pula yang tidak diturunkan pada aksi menentang Selangor FC, Nafuzi berkata, pemain tersebut dilihat masih belum bersedia sepenuhnya.

“Ebenezer baharu sahaja seminggu bersama kita dan pada waktu perlawanan menentang Selangor FC mungkin sukar untuknya kerana tempo yang agak tinggi.

“Kita perlukan pemain yang betul-betul bersedia seperti Syafiq Ahmad yang masih baik, jadi kita kekalkan (Syafiq di atas padang).

“Tetapi pada perlawanan seterusnya, Insya-Allah kita akan menggunakan khidmat Ebenezer,” ujar beliau.-Sinar

 

Advertisement

Must Watch Video