Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Kedah enggan rasa selesa di tangga kedua

kedah.jpg
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, enggan berasa selesa dan menyifatkan perjalanan Liga Super 2023 masih lagi jauh walaupun pasukannya kini berada di tangga kedua selepas tujuh perlawanan.

Menurutnya, Sang Kenari perlu terus mengekalkan momentum dalam setiap perlawanan jika mahu kekal berada di kelompok atasan Liga Super sehingga penghujung musim ini.

"Kami berada di tangga kedua tetapi masih ada baki 19 perlawanan. Kalau dalam perlawanan ke-26 kami berada di dua teratas liga itu memang kami antara terbaik.

"Jauh lagi perjalanan kerana kami masih perlu terus mendaki," katanya dalam sidang media di Stadium Darul Aman selepas menang tipis 1-0 ke atas Penang FC semalam.


Sang Kenari memungut tiga mata penting selepas menang hasil jaringan Willian Lira pada minit ke-64 walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas layangan kad merah kepada pertahanan, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman, pada minit ke-53.

Kemenangan itu menyaksikan KDA FC berada di tangga kedua dengan 16 mata selepas mencatatkan lima kemenangan, satu seri dan satu tewas selepas tujuh perlawanan.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Penang FC itu, Nafuzi menegur sikap pemainnya yang dilihat tidak agresif, terutama dalam separuh masa pertama.

Dia berharap sikap yang ditunjukkan oleh pemain Sang Kenari itu adalah kali terakhir ditunjukkan oleh mereka kerana ia mampu memberikan kelebihan kepada lawan untuk memberikan tekanan kepada mereka.

"Prestasi yang ditunjukkan dalam separuh masa pertama diharapkan kali terakhir dipamerkan oleh pemain kerana kami bernasib baik tidak bolos, kami (bermain) 'lazy football'.

"Kami tengok pemain banyak tidak bergerak, dari segi tekanan, kami terlalu banyak memberi ruang kepada lawan. Dalam waktu rehat kami perbetulkan keadaan dan (akhirnya) berjaya untuk merobek gawang gol lawan," ujarnya.

Penolong Ketua jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid, pula mengakui bukan perkara mudah untuk berdepan sebuah pasukan yang dibarisi pemain berkualiti seperti KDA FC di laman lawan.

"Kami tahu bukan mudah untuk mengatasi lawan yang beraksi dengan 10 pemain, kadang-kadang mereka akan lebih berdisiplin dan berjaya mendapatkan gol, jadi kami cuba untuk dapatkan semula satu jaringan, peluang ada tapi gagal untuk diterjemahkan kepada gol," katanya.

Sang Kenari seterusnya akan terbang ke Stadium Sultan Ibrahim untuk bertemu juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Harimau Kumbang pula akan menerima kunjungan PDRM FC hujung minggu ini.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video