Kelantan Darul Naim (KDN) melakukan kejutan apabila menjual tiket bagi tempat duduk terbuka pada harga RM10 dalam aksi Liga Super 2024/25 menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat ini.

Presidennya, Rozi Muhamad, berkata harga asal tiket untuk tempat duduk terbuka ialah RM15 sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini.

"Dalam perlawanan sulung baru-baru ini, kami lihat ramai penyokong yang bertandang ke arena lawan. Sangat ramai. Ini menunjukkan sokongan padu peminat dan penyokong bola sepak Kelantan kepada KDN.

"Sebagai tanda penghargaan, terima kasih serta mahu penyokong membanjiri tempat duduk stadium pada pertemuan dengan Sabah, kami bersetuju menurunkan harga tiket bagi tempat duduk terbuka," katanya.

Menurutnya, KDN menyeru semua peminat dan penyokong bola sepak di Kelantan untuk hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemain dalam misi memburu tiga mata pertama.

Ujarnya, jualan tiket perlawanan akan dibuka seawal jam 12 tengah hari pada Khamis ini di Kedai Merchandise KDN di Stadium Sultan Muhammad IV.

Rozi memberitahu jualan tiket tersebut kemudian akan diteruskan pada hari perlawanan, iaitu Jumaat ini bermula dari 9 pagi hingga jam 9.30 malam di kaunter stadium.

--Sinar Harian