Penyerang muda Kuala Lumpur City, Haqimi Azim Rosli, mahu membalas kepercayaan ketua jurulatihnya Miroslav Kuljanac selepas memberikan dirinya minit permainan untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2024/2025 musim ini.

Dia juga tidak mahu memandang rendah terhadap pasukan lawan, Kedah Darul Aman (KDA), yang dikhabarkan akan menghantar skuad muda ketika bertandang untuk membuat perhitungan di Stadium Cheras, esok.




Sepanjang lapan perlawanan, KL City telah meraih tiga kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kalah. Dengan kini menduduki tangga ke 11 liga dengan lima mata selepas didenda pemotongan enam mata sebelum ini.


"Saya akan berikan aksi yang terbaik memandangkan jurulatih telah memberi saya peluang untuk beraksi pada tahun ini jadi saya mahu buktikan pada jurulatih.



"Ramai mengetahui KDA akan menghantar pasukan muda mereka tetapi kita tidak boleh pandang rendah serta perlu beri aksi terbaik nanti." katanya kepada Nadi Arena.